Buletin

ZEEKR TUBUHKAN ZEEKR INTELLIGENT TECHNOLOGY DI MALAYSIA

Zeekr Group, jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) premium milik Geely Holding, kini melangkah lebih jauh di rantau Asia Tenggara dengan penubuhan Zeekr Intelligent Technology (Malaysia) Sdn Bhd, yang bakal berperanan sebagai Syarikat Jualan Nasional (NSC) di Malaysia.

Langkah strategik ini menandakan kesungguhan Zeekr dalam memperkukuh kehadiran mereka di Malaysia, bukan sahaja dari aspek jualan, malah dalam pengembangan rangkaian pengedar, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.

Menurut Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao, Malaysia merupakan salah satu pasaran utama bagi jenama itu di rantau ini.

“Kami baru sahaja meraikan pengeluaran unit ke-500,000 kenderaan Zeekr secara global, dan kini beroperasi di lebih 40 negara. Penubuhan NSC ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan di Malaysia,” ujarnya.

Zeekr ketika ini sudah memiliki dua bilik pameran rasmi, satu di Petaling Jaya dan satu lagi di IOI Mall Puchong.

Menerusi kerjasama dengan Sentinel Automotive Sdn Bhd selaku pengedar utama, serta rakan pengedar seperti Preeminent Auto dan Carro, jenama ini akan menambah lapan lagi bilik pameran menjelang akhir tahun ini:

  • Bandar Sunway & Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur (Julai 2025)
  • Bangsar & Skudai, Johor Bahru (Suku Ketiga 2025)
  • Penang, Seremban, Melaka & Ipoh (Suku Keempat 2025)

Selain jualan, Zeekr juga akan memperkenalkan tiga pusat servis rasmi di Bandar Sunway, Pulau Pinang dan Johor Bahru, yang dijangka mula beroperasi tahun ini.

Pusat ini bakal menawarkan servis premium berasaskan komponen tulen Zeekr dan sokongan teknikal khas.

Selain itu, Zeekr turut membuka peluang kepada individu atau syarikat yang berminat menjadi rakan niaga dan pengedar di lokasi seperti Cheras, Kuantan, Tebrau, Kuching dan Kota Kinabalu. Permohonan boleh dihantar ke: dealers-recruitment@zeekrlife.com

Google ads
Back to top button