Artikel Pilihan

CEO BAHARU NISSAN KONONNYA SEORANG KAKI KERETA – HARAPNYA BETUL LA

Semua orang tahu yang Nissan memang sedang bergelut dengan masalah kewangan. Ia diburukkan lagi dengan kegagalan mereka untuk bergabung dengan Honda. Kini, semuanya bergantung kepada CEO baharu Nissan untuk mencipta keajaiban. Lagi katanya beliau seorang peminat kereta, macam kita semua la.

CEO baharu Nissan ialah Ivan Espinosa dan mula menyertai Nissan pada 2003 dengan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Vice President of Global Strategy dan Chief Planning Officer sebelum bergelar CEO. Menyertai Nissan selama 22 tahun, Espinosa dikenali rakan-rakan beliau sebagai seorang peminat kereta.

Malah CEO sebelum ini pun menyatakan Espinosa baru berusia 40an dan penuh semangat. Ini baru betul. Idea orang muda kadang-kadang lebih agresif dan sesuai dengan keadaan semasa.

Penting ke seorang CEO yang kaki kereta? Mesti la penting nak oi… Tengok apa yang jadi pada Toyota sekarang? Dulu kalau sebut Toyota je dah boleh terbayang kereta Corolla imam muda kat kampung. Tapi sekarang? Misi sebelah rumah abang pun pakai GR Corolla dik.

Nissan baharu sahaja menamatkan pengeluaran model ikonik mereka, Nissan GT-R dan buat masa sekarang mereka ada Nissan Z untuk segmen sports. Semuanya bergantung kepada Espinosa sama ada beliau ingin membangunkan lebih banyak model-model sports.

Semasa ditemuramah oleh Top Gear pada tahun 2024, Espinosa pernah menyatakan bahawa Nissan perlukan model sports entry level sebagai pilihan bersama-sama GT-R dan Z. Ketika itu GT-R masih dijual di ruang-ruang pameran Nissan.

Rasanya peluang untuk Nissan berkembang masih ada kerana antara impian Espinosa ialah untuk menghidupkan kembali Nissan Silvia. Nah, betul la mamat ni seorang kaki kereta. Lepas ni apa pula? Pulsar kot?

Google ads
Back to top button