Artikel Pilihan

10 KERETA POPULAR TAHUN 2024 DI MALAYSIA. BEZZA MODEL TERLARIS

Laman sesawang data negara iaitu data.gov.my telah menerbitkan satu taburan data pendaftaran kenderaan pada tahun 2024 berdasarkan jenama dan juga model. Seperti yang kita sedia maklum, semua pendaftaran kenderaan di dalam negara akan direkodkan secara rasmi di Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ

Sebanyak 816,747 unit kenderaan telah terjual sepanjang tahun 2024 termasuk kenderaan penumpang dan juga kenderaan perdagangan. Bagi kenderaan persendirian, jenama paling popular tahun 2024 ialah Perodua, Proton, Toyota, Honda, Chery, Mitsubishi, Mazda, Mercedes, BMW dan juga BYD

Daripada jumlah jualan ini, jenama Perodua mewakili sehingga 43.84% jumlah keseluruhan dengan 358,100 unit kenderaan Perodua terjual dalam tempoh setahun. Jenama dari China seperti Chery dan juga BYD juga berjaya menduduki 10 jenama terlaris yang satu ketika dulu dikuasai oleh jenama dari Jepun

Bagi senarai kenderaan berdasarkan model, kereta Perodua menduduki 3 tempat pertama untuk 3 kereta paling laris dengan Perodua Bezza telah terjual sebanyak 100,814 unit diikuti oleh Perodua Axia 88,137 unit dan tempat ke 3 ialah Perodua MyVi 72,214 unit

Bagi tempat ke 4, ia diwakili oleh sedan kompak Proton Saga sebanyak 69,863 unit dan tempat ke 5 ialah MPV kompak Perodua Alza 44,374 unit terjual. Sentimen pasaran ini menunjukkan model kompak dan mampu milik tetap menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia

Antara faktor yang menjadikan Perodua Bezza sedan kompak yang popular ialah harga permulaan yang cukup mampu milik iaitu sekitar RM 34,580 bagi varian 1000cc manual dan model tertinggi ialah 1300cc automatik lengkap dengan ASA pada harga RM 49,980

Perodua Bezza juga diberikan ruang kabin yang selesa, ruang bagasi sehingga 508 liter serta ditawarkan dengan enjin 1300cc dual VVTi yang cukup menjimatkan. Pemandu boleh mendapatkan kadar penggunaan bahan api serendah 4.5 liter bagi setiap 100km

Selain itu juga, Perodua Bezza juga menawarkan sokongan pusat servis dan kos servis yang rendah menjadikan model ini sangat popular samaada untuk dijadikan sebagai kenderaan utama, kenderaan kedua dan menjadi kereta tidak rasmi bagi pemandu pandu seru (e-hailing)

Google ads
"
"
Back to top button