Artikel Pilihan

10 PERKARA PALING PENTING DALAM BUKU PANDUAN (MANUAL) KERETA

Manual pemilik kereta anda baik dalam bentuk buku ataupun digital sebenarnya mengandungi maklumat yang sangat mustahak. Contohnya memberikan maklumat asas tentang tetapan kereta, cara memeriksa kandungan bendalir dan juga cecair selain tekanan angin tayar.

Malangnya ramai pemilik yang mencampakkan buku ini sewenang-wenangnya kerana memikirkan mereka sudah cukup mahir dengan operasi sesebuah kereta.

Ia sebenarnya mempunyai arahan penting tentang cara operasi kereta anda berdasarkan model yang anda miliki lengkap dengan cara-cara penyelesaian masalah yang mungkin timbul.

BACA:

Ingat senang ke nak bukukan semua maklumat dalam sebuah buku yang padat macam tu. Kini kami senaraikan 10 perkara yang paling penting yang boleh anda temui dalam buku manual tersebut.

1. BAGAIMANA CARA ASAS MELARAS KERETA (SETTING)

Setiap tahun, ciri-ciri teknologi sesebuah kereta sentiasa dimajukan dan ditambahbaik menyebabkan pengguna terpaksa membuat pelarasan sendiri untuk beberapa perkara.

Antaranya termasuklah sistem kemasukan bebas kunci, pemasa sistem lampu dan kelengkapan audio kereta anda.

Tanpa manual mungkin anda masih boleh melakukannya tetapi mungkin dalam masa yang lebih panjang. Dengan menggunakan manual, ia bukan sahaja lebih senang tetapi juga lebih menjimatkan masa.

Mazda CX30

2. CARA MEMERIKSA TAKAT BENDALIR

Memang jika dilihat proses ini cukup mudah hanya dengan melihat takat cecair pada dipstick tetapi perlu diingat, ada yang sepatutnya diperiksa sewaktu enjin sejuk dan ada juga yang sebaliknya. Contohnya minyak pelincir seeloknya diperiksa sewaktu enjin dimatikan tetapi minyak gear pula mesti diperiksa sewaktu enjin hidup. Lebih penting lagi ialah untuk mencari kedudukan dipstick itu sendiri kerana kedudukannya adalah berbeza mengikut model kenderaan. Jangan pula tertukar dipstick pelincir dengan dipstick minyak gear.

3. NASIHAT AMALAN PEMANDUAN LEBIH BAIK

Memandangkan setiap kenderaan mempunyai karektornya yang tersendiri, cara yang paling ideal untuk memandunya mungkin sama ataupun berbeza dengan gaya pemanduan anda sebelum ini.

Ia cukup penting khususnya ketika dalam tempoh “break-in period” ataupun biasa kita panggil tempoh “running-in”.

Manual penggunaan akan memberitahu anda perkara yang mesti dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh tersebut selain cara menjimatkan bahan api dan meningkatkan keselamatan ketika memandu.

4. CARA MENGATASI MASALAH-MASALAH LAZIM

Jika anda terkandas di tepi jalan ataupun mana-mana tempat asing, bantuan tidak semestinya akan sampai segera, apatah lagi ditempat-tempat tanpa liputan telefon.

Manual pengguna akan membantu anda menyelesaikan masalah kecemasan biasa seperti menukar tayar pancit, cara menggunakan jumper ataupun cara menurunkan tingkap cermin berkuasa elektrik secara manual.

5. CARA MUDAH UNTUK MENGAKSES DATA TEKNIKAL

Mungkin tiba satu masa di mana ada perlukan data teknikal kereta anda seperti kod warna kereta anda, saiz enjin ataupun ukuran dimensi kereta anda.

Semua maklumat ini boleh didapati dalam buku manual pemilik. Ia juga turut dilengkapkan dengan kod alat ganti, saiz mentol, bacaan fius dan macam-macam lagi.

6. TEKANAN ANGIN TAYAR YANG IDEAL

Walaupun sudah berpengalaman mengisi angin tayar selama bertahun-tahun, anda masih perlu mengetahui tekanan angin yang paling sesuai untuk tayar kereta.

Walaupun ia memang ada dicetak pada bahagian sisi tayar tetapi bukanlah mudah untuk anda membacanya di situ. Untuk lebih mudah dan cepat, belek sahaja buku manual pemilik.

7. CARA MEMBERSIH DAN MEMELIHARA BAHAGIAN PERMUKAAN KERETA

Semestinya kita mahu kereta baru kelihatan bersih dan berkilauan. Walaupun rata-rata cara membasuh kenderaan menggunakan konsep yang sama tetapi mungkin ada bahagian tertentu kereta anda yang mempunyai cara membersih yang khusus.

Ia akan diterangkan dengan jelas dan terperinci di dalam manual pemilik.

8. APAKAH FUNGSI SETIAP BUTANG DAN SUIS?

Sekali lagi, memandangkan setiap model kereta akan mempunyai perbezaan, adalah mustahil untuk mengetahui semua fungsi tersebut secara automatik.

Memang ada menekan semua suis yang ada untuk memeriksa fungsinya tetapi macam mana jika salah tekan?

Cara yang lebih baik ialah menyemak fungsinya terlebih dahulu di dalam buku manual pemilik. (Jangan jadi macam segelintir pemandu Toyota Vios, memanjang je ‘On’ lampu kabus belakang. Silap tekan ke?).

9. MEMAHAMI LAMPU PETUNJUK AMARAN

Ini antara yang paling penting sekali khususnya bila anda melihat lampu amaran yang tidak pernah menyala tiba-tiba menyala di dalam paparan meter anda dan bukannya semua mudah difahami.

Petunjuk takat bahan api memang bermaksud anda perlu mengisi petrol ataupun disel tetapi bagaimana pula dengan lampu lain yang lebih misteri?

Lampu “Check Engine” biasanya memerlukan peralatan khusus daripada mekanik bertauliah.

Sebelum itu anda boleh cuba merujuk kepada manual pemilik untuk memahami petunjuk yang mahu disampaikan oleh lampu-lampu amaran tersebut. Kemudian aturkan temujanji dengan mekanik terlatih.

10. MAKLUMAT JAMINAN PENGELUAR

Buku manual pemilik ini juga menyatakan dengan jelas tentang waranti yang diberikan untuk kereta selain perkara-perkara yang boleh membatalkan waranti ataupun jaminan tersebut.

Jika anda kurang memahami tentang waranti yang diberikan, buat sahaja temujanji dengan juruteknik di pusat servis kereta atau hubungi pengeluar untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut.

Ini cuma sepuluh perkara yang kami rasakan paling penting dalam buku tersebut. Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang boleh anda ketahui daripada buku manual pemilik. Luangkan masa untuk membacanya dan anda akan memahami kereta anda dengan lebih baik.

Sebaiknya juga buku manual pemilik ini diletakkan di dalam kenderaan untuk kemudahan anda.

Jangan lupa, kereta yang mempunyai rekod servis yang teratur lengkap dengan buku panduan pemilik mempunyai harga pasaran yang lebih baik jika anda berhasrat menjual kereta anda di kemudian hari.

 

 

Tags
Google ads
Back to top button