Peranti

LG ELECTRONICS TAWAR TV GENERASI SETERUSNYA

LG Electronics (M) Sdn. Bhd. baru-baru ini memperkenalkan rangkaian baharu produk perkakasan elektrik rumah yang bertemakan “Innovation that Goes Beyond”.

Majlis pelancaran itu mengetengahkan pelbagai teknologi yang telah diiktiraf di seluruh dunia seperti LG SIGNATURE 4K OLED TV, Super UHD TV, peti sejuk Smart InstaView™ dan mesin basuh TWINWash™.

“LG jelas menunjukkan kepakarannya dalam menghasilkan teknologi yang memberi kelainan kepada pelanggan. Kami membawakan inovasi ke satu tahap serba baru menerusi produk yang tahan lama dan direka untuk menambah baik gaya hidup pelanggan,” kata Pengarah Urusan LG Electronics (M), David Oh.

TV Generasi Seterusnya

LG OLED TV G7 menampilkan reka bentuk gambar-di-atas-kaca (Picture-on-Glass) setebal kurang 2mm dan menghasilkan imej-imej yang kelihatan seperti terapung di udara. Bukan itu sahaja, OLED C7 hadir bersama reka bentuk Blade Slim yang berfungsi dengan paparan OLED penuh elegan bagi memastikan tontonan yang konsisten, biarpun dari arah tepi.

Teknologi paparan OLED LG menawarkan penonton dengan tona yang sempurna melalui warna hitam pekat. Pikselnya boleh menyala sendiri, tidak seperti TV konvensional yang memerlukan cahaya latar. Piksel-piksel ini boleh dinyala dan dimatikan dengan mudah.

Sekali gus menyediakan latar belakang dengan warna hitam yang sempurna untuk meningkatkan imej-imej berwarna yang dipaparkan. Ini dapat memberikan ekspresi jelas yang menawarkan nisbah kontras tanpa had.

LG menggabungkan inovasi dan reka bentuk untuk disesuaikan dengan trend pengguna yang mahukan produk lebih tahan lama dan premium.

Teknologi paparan OLED merupakan kebanggaan LG untuk memperkenalkan format TV generasi seterusnya. Ia juga berikutan peningkatan jumlah paparan OLED yang digunakan dalam pelbagai skrin seperti monitor, papan tanda digital dan telefon pintar.

TV OLED dan Super UHD LG: Menyokong Paparan Kandungan TV Masa Depan

TV OLED dan SUPER UHD LG menampilkan format Active HDR dan pelbagai format HDR, termasuklah HDR10 serta Dolby Vision™ untuk meningkatkan tahap kecerahan dan nisbah kontras.

Terkenal dalam kalangan mereka yang gemar menonton filem, Dolby Vision™ dan Dolby Atmos® merupakan teknologi yang digunakan secara meluas di dalam panggung wayang serta studio produksi di seluruh dunia.

Menerusi TV OLED dan Super UHD baharu, LG membawakan pengalaman sinematik sebenar ke ruang tamu pengguna serta menggalakkan mereka agar menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

Reka bentuk TV itu dipertingkatkan lagi dengan teknologi termaju. Rangkaian terkini TV Super UHD LG mengetengahkan teknologi Nano Cell yang memberikan ketepatan warna 64 kali lebih baik berbanding TV konvensional.

Para pengguna kini boleh menikmati paparan warna yang konsisten pada sudut tontonan lebih luas sehingga 60 darjah.  Teknologi Nano Cell juga menyerap gelombang cahaya yang tidak perlu untuk menawarkan warna lebih jelas dan sempurna.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Persatuan Digital Malaysia tahun lalu, 80% rakyat Malaysia memuat turun atau menstrim kandungan video dari dalam talian setiap bulan. Berdasarkan kepada peningkatan trend ini, LG berbangga kerana dapat memberi peluang kepada pengguna untuk menonton rancangan daripada saluran Netflix yang berkualiti tinggi dan dinamik.

TV OLED dan UHD LG juga diiktiraf sebagai TV yang dicadangkan oleh Netflix kerana ia mampu menawarkan prestasi dan pengalaman tontonan yang mengagumkan. Pengguna kini boleh menstrim kandungan 4K dan HDR daripada Netflix seperti Iron Fist terbitan Marvel, The OA dan Chef’s Table.

Google ads
Back to top button