Artikel Pilihan

10 AMALAN BENGAP YANG DILAKUKAN OLEH PENGGUNA JALAN RAYA KITA

Ketika memandu di jalan raya, penulis sering memerhatikan beberapa perangai dan tingkah laku pemandu dan penunggang jalan raya di Malaysia yang boleh menjadi punca kemalangan jalan raya. Atau sekiranya kemalangan berlaku, ia boleh menyebabkan kecederaan yang teruk kepada pelaku.

Jadi atas sebab ingin memberi teguran kepada pengguna jalan raya yang lain, penulis senaraikan beberapa sikap atau amalan yang berisiko tinggi untuk mendatangkan kecederaan atau kematian sekiranya kemalangan berlaku. Antaranya ialah:

1. Penunggang motosikal gemar memakai jaket terbalik – bukan sekadar jaket, malah baju hujan pun akan dipakai secara terbalik. Penulis tidak tahu dimana logiknya mereka berbuat demikian kerana memakai baju hujan secara terbalik akan menyebabkan bahagian belakang tetap basah.

Malah bahagian yang tidak dibutang atau dipasang zip tadi berisiko untuk tersangkut pada kenderaan lain atau terbelit pada bahagian motosikal yang bergerak. Malah ada beberapa kes kemalangan maut dimana kain pembonceng terbelit pada rantai motosikal dan menjerut leher mangsa.

2. Berhenti rehat di bawah jejambat jalan ketika hujan – bagi penunggang motosikal yang tidak membawa baju hujan, mereka gemar berteduh di bawah jejambat jalanraya seketika sambil menunggu hujan reda. Sekiranya kawasan tersebut telah digazetkan oleh pihak keselamatan maka ia tiada masalah.

Masalahnya ialah mereka berhenti di tepi jalan raya yang sibuk dan lama kelamaan semkin ramai penunggang yang berhenti dan mengganggu lalu lintas. Dalam keadaan hujan dan penglihatan yang terhad, perbuatan ini boleh menyebabkan pemandu di lorong kiri merempuh penunggang motosikal yang sedang berteduh

3. Lupa pasang lampu kereta pada waktu malam – penulis tidak pasti bagaimana mereka boleh terlupa, tapi memang terdapat beberapa kereta yang dipandu pada waktu malam di lebuh raya dan jalan raya tanpa menghidupkan lampu. Mereka hanya memasang lampu depan selepas menerima amaran daripada kenderaan dari arah bertentangan.

4. Meriba anak ketika memandu – mungkin anak mereka menangis, jadi langkah paling mudah ialah dengan meriba anak ketika memandu. Penulis seringkali melihat perbuatan ini dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa dan suka penulis ingatkan bahawa anak mesti berada dalam kerusi bayi ketika dalam kereta.

Bayangkan jika berlaku kemalangan dan membrek kecemasan, kemungkinan besar anak mereka terpenyek apabila badan pemandu merempuh roda stering atau ketika beg udara meletup. Atau dalam situasi paling buruk, bayi mereka mungkin tercampak keluar.

5. Memasang kerusi bayi di kusyen depan – jika anda perlu memasang kerusi bayi di tempat duduk hadapan, pastikan yang kereta anda memiliki ciri untuk mematikan beg penyaman udara sekiranya anda terlibat dalam kemalangan. Ia boleh dimatikan dengan menggunakan kunci khas di tepi papan pemuka

Penulis pernah terlihat ada ibubapa yang memasang kerusi keselamatan bayi secara menghadap ke belakang di tempat duduk depan pada kereta yang sememangnya tidak boleh dimatikan beg udara. Bayangkan kalau beg udara meletup dan menghimpit kerusi bayi dengan bayi di tempat duduk hadapan?

6. Membiarkan anak mengeluarkan kepala dari sunroof atau panaromic roof – perbuatan ini sudah menjadi lumrah bagi kebanyakan pengguna jalan raya di sini dan beranggapan ia adalah perbuatan normal. Ciri ini disediakan hanya untuk membenarkan udara masuk dalam kereta, bukannya mengeluarkan sebahagian badan atau kepala daripada kenderaan.

7. Melipat semua kusyen dalam MPV dan menjadkannya sebagai katil bergerak – sesetengah pemandu akan melipat semua tempat duduk dalam MPV mereka dan meletakkan hamparan toto untuk anak mereka tidur ketika memandu pada waktu malam.

Perbuatan ini mungkin nampak selesa, tapi sekirnya terlibat dalam kemalangan ia akan memberi risiko yang besar kepada penumoang yang tidak diikat dengan tali keledar keselamatan. Senario yang paling ngeri termasuklah anak anda tercampak keluar ketika kemalangan berlaku.

8. Tidak membuka pembalut plastik kusyen – keadaan ini berlaku pada kenderaan yang baru dibeli dengan pemilik mungkin terasa sayang kenderaan baru mereka akan cepat kotor di bahagian kusyen. Sekiranya pembalut plastik tidak dibuka, plastik yang licin tadi akan menyebabkan badan anda menggelongsor ke depan semasa brek kecemasan

9. Tidak memasang lampu ketika hujan lebat – lampu tadi dibuka bukan untuk menyuluh jalan, sebaliknya sebagai isyarat kepada pemandu lain untuk mudah melihat kedudukan kereta anda, menganggarkan jarak dan kelajuan kenderaan anda. Kadang kala mereka hanya membuka lampu kecil sahaja yang sukar untuk dilihat

10. Memasang lampu depan putih yang terang – mungkin mereka ingin menggantikan mentol depan mereka yang terbakar dengan mentol yang lebih terang, tapi perbuatan menggantikan mentol halogen biasa dengan mentol LED Putih terang adalah salah di sisi undang undang jalanraya. Keadaan ini menyebabkan masalah buta seketika kepada pemandu di depan.

Sebenarnya banyka lagi perkara yang salah dilakukan oleh pengguna jalan raya kita, dengan asas ia menyenangkan diri sendiri tanpa mempedulikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya yang lain. Tapi sebenarnya isu ini melibatkan keselamatan bersama dan sikap mementingkan diri sendiri ini wajar dielakkan.

Google ads
Back to top button