Artikel Pilihan

ENJIN SUBARU TAMBAH AIR, LAGI POWER.

Subaru telah melancarkan jentera mereka yang diberi nama Subaru STI S209 dalam talaan khas untuk dijual dengan kuantiti terhad. Dah nama Subaru, STI ini akan dikuasakan dengan enjin sebesar 2500cc susunan boxer 4 silinder yang dipasang pada bahagian depan. Enjin ini memiliki susur galur yang panjang dari keluarga EJ.

Namun ada satu fungsi yang menarik perhatian penulis berkenaan enjin ini. Namun kita akan teliti dulu beberapa proses kaizen yang telah dibuat oleh Subaru bagi menjadikan enjin ini lebih baik berbanding dengan versi yang lama. Dari segi saiz enjin, ia masih mengekalkan saiz yang sama iaitu 2500cc, namun ia menghasilkan lebih kuasa kuda dan juga tork.

Enjin STI S209 menghasilkan 341 kuasa kuda (versi lama 310 kuasa kuda) dan 420Nm tork (versi lama 393Nm) pada 3600RPM. Antara perubahan yang dilakukan oleh Subaru terhadap enjin ini ialah rongga kemasukan udara yang lebih besar, sistem pancitan petrol rekaan baru, pam petrol rekaan yang dikemaskini, ECU yang ditala semula, piston dan rod penyambung dari jenis tempaan.

Sistem turbo memiliki bilah 8% lebih besar, bilah turbin dibesarkan sebanyak 6%, serta sistem ekzos direka semula agar pelepasan asap berjalan lancar dengan mengurangkan 17% rintangan udaraApa yang menarik di sini ialah, sistem sejukan udara menggunakan kaedah air to air intercooler ataupun sistem penyejukan yang menggunakan medium udara bagi menyejukkan udara yang dimampat oleh sistem turbo.

Sistem ini juga menggunakan kaedah semburan air bagi menyejukkan lagi udara dan menghasilkan lebih kuasa daripada 341 kuasa kuda. Semburan air ini akan dibuat di dalam rongga kemasukan (intake manofold) sebelum udara tersebut dimasukkan dalam silinder untuk dicampurkan dengan petrol dan dibakar. Tekanan yang dihasilkan oleh turbo turut berubah dari 111kPa kepada 124kPa.

Jadi berbalik kepada sistem semburan air pada air intercooler yang dibuat oleh Subaru. Salah satu sebab Subaru menggunakan sistem sejukan udara berbanding dengan sejukan air ialah mereka mahu memendekkan perjalanan udara selepas ia dimampatkan oleh sistem turbo bagi meminimakan kesan turbolag.

Sekiranya Subaru menggunakan sistem sejukan berasaskan air, udara yang dimampatkan oleh turbo perlu dialirkan ke bahagian depan dan perjalanan tersebut akan menjadi lebih panjang dan lama sebelum ia dimasukkan ke dalam silinder. Sebaliknya dalam sistem sejukan udara, sistem penyejuk yang ringkas dipasang di atas enjin, sebelah saja dengan sistem turbo menjadikan perjalan udara lebih pendek dan meminimakan masalah turbolag.

Jadi akan ada satu liang udara pada penutup enjin bagi membenarkan udara luar yang sejuk mengalir laju terus pada sistem sejukan bagi menyejukkan udara sebelum masuk ke dalam enjin. Subaru menyatakan sistem semburan air ini mampu menurunkan suhu udara sebanyak 10 darjah Celcius.

Apa yang perlu dilakukan oleh pemandu ialah dengan menekan satu pedal khas yang berada di belakang roda stering untuk mengaktifkan sistem sejukan air ini. Sebaik sahaja air ini disembur dalam titisan halus di dalam rongga kemasukan, titisan air ini akan menyerap haba yang ada dan menyejukkan lagi udara. Proses penguapan ini membantu enjin ini mencapai lebih daripada 341 kuasa kuda

Dalam anggaran kami, sistem penyejukan udara dengan bantuan semburan air ini membantu Subaru menghasilkan 10 kuasa kuda tambahan ketika ia diaktifkan. Namun pemandu perlu sentiasa menambah air ke dalam tangki sebesar 3.4 liter khas untuk sistem ini. Subaru menasihatkan pengguna agar menggunakan air tulen atau air osmosis berbalik sahaja. Kalau di kedai ada air yang dijual dengan tudung botol berwarna putih.

Boleh je kalau nak pakai air mineral kalau tuan banyak duit. Cuma jangan guna air sirap, kopi, teh tarik dan juga cincau dalam tangki tersebut. Lampu amaran akan menyala pada paparan meter sekiranya air dalam tangki tersebut mulai kurang. Sekiranya pemandu mengaktifkan sistem ini secara berterusan selama 330saat, air tersebut akan habis sepenuhnya dan perlu ditambah semula.

Dalam keadaan standard, Subaru STI S209 mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.4 saat. Halaju maksima pula ditetapkan pada 260km/j. Jika dipandu dengan lemah lembut seliter petrol membolehkan ia dipandu sejauh 8.9km. Kalau kita buat eksperimen dengan menggunakan air sejuk dicampur air batu pada sistem semburan air, mesti lagi power kan.

Tags
Google ads
Back to top button