Buletin

20 PELANGGAN MERCEDES BERPELUANG UJI TRAK ELEKTRIK UNTUK SETAHUN

Mercedes-Benz kini dalam proses untuk menguji trak berkuasa elektrik yang dikenali dengan nama Urban eTruck. Urban eTruck ini merupakan jelmaan daripada model khayalan ke dunia realiti.

Mercedes-Benz telah membuka peluang kepada pelanggan mereka untuk memandu dan menggunakan trak ini selama setahun. Mereka yang terpilih akan menerima trak baharu itu pada tahun ini juga.

BACA: VIGO, SUPERBIKE ELEKTRIK 290KM/J

Untuk pengetahuan semua, Urban eTruck ini merupakan trak pertama di dunia yang dikuasakan dengan elektrik sepenuhnya. Buat masa sekarang ia cuma akan dikeluarkan dalam jumlah yang kecil.

Ia bertujuan untuk memudahkan penambahbaikan dilakukan kerana ia masih di peringkat awal. Malah Mercedes-Benz merupakan syarikat pertama yang menghasilkan trak seumpama ini.

Sebagai satu produk baru semestinya ia tidak akan dapat lari daripada masalah tertentu. Program selama setahun ini lebih merupakan kepada ujian terhadap kemampuan trak tersebut sebelum ia dijangkakan memasuki fasa pengeluaran penuh menjelang tahun 2020.

Trak generasi baharu ini akan membuka dimensi baru industri dengan trak yang menghasilkan sifar bahan buangan dan bebas bunyi. Trak ini digerakkan dengan motor elektrik sepenuhnya yang akan memacu gandar belakang. Kuasanya pula akan dibekalkan oleh tiga modul bateri lithium-ion.

Kesatuan Eropah membenarkan kenderaan dengan tenaga alternatif menambah berat keseluruhan sebanyak 1 tan. Ini membolehkan trak Urban eTruck ini menambah keseluruhan kepada 26 tan berbanding had maksimum 25 tan sebelum ini.

Trak ini telah diperkenalkan buat pertama kali di International Commercial Vehicle Show 2016 dan menurut jurucakap Mercedes, mereka telah mencapai kata sepakat dengan dua puluh pelanggan yang mahu menggunakan Urban eTruck dalam perniagaan mereka.

Ia melibatkan untuk tempoh ujian 12 bulan di mana penggunaan trak tersebut akan diawasi oleh Mercedes-Benz. Sokongan juga akan disediakan oleh bahagian ujian jalan raya Mercedes.

Siapa dua puluh pelangan itu? Maaf, mereka bukannya pelanggan individu tetapi operator trak yang mengendalikan perniagaan berasaskan bahan kitar semula, barangan makanan dan sektor logistik.

Mercedes turut mengalu-alukan jika ada pihak berkuasa tempatan ataupun PBT yang ingin menguji trak elektrik baharu ini untuk lori sampah. Lori sampah tanpa bunyi bising enjin akan mendamaikan lagi suasana di taman perumahan kediaman kita.

Menurut Mercedes, Urban eTruck akan mempunyai jarak operasi sehingga 200 kilometer dengan membawa bebanan seberat 12.8 tan (Berat keseluruhan ialah 26 tan). Ia juga akan dilengkapkan sama ada dengan badan pelbagai (multibody) untuk membawa barangan beku ataupun kargo kering yang lain. Ia juga akan dilengkapi dengan pengecas tahan lasak sama seperti komponen lain yang ada pada trak ini.

Stefan Buchner daripada Mercedes-Benz menyatakan, tahun 2017 merupakan fasa pertama pengenalan trak berkuasa elektrik ini. Mereka akan membangunkan trak ini selangkah demi selangkah sehinggalah ia mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain daripada Urban eTruck, Daimler turut menawarkan trak ringan Fuso eCanter berkuasa elektrik kepada 150 pengguna terpilih di Eropah, Jepun dan juga Amerika Syarikat.

KENAPA TRAK ELEKTRIK PENTING?

Selain daripada lebih bersih dan senyap, kajian PBB menunjukkan sejak tahun 2008 menunjukkan populasi manusia bertambah ramai di kota-kota besar berbanding di kawasan pedalaman. Jika trend ini berterusan, menjelang 2050, PBB meramalkan 70 peratus manusia akan tinggal di kawasan bandar sekaligus membuatkan masalah pencemaran bertambah serius.

Industri pengangkutan akan menjadi bertambah sibuk khususnya untuk membawa bekalan makanan kepada seluruh manusia. Hari ini, bandar-bandar besar seperti London dan Paris telah mengenakan sekatan terhadap kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman. Ini bermakna, trak elektrik akan menjadi satu keperluan untuk memastikan bekalan logistik tidak akan terputus suatu hari nanti.

BACA: LUCID AIR, JENTERA ELEKTRIK 1000HP

BACA: SUPERCAR ELEKTRIK NEO EP9

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button