Artikel Pilihan

KENAPA ADA NEGARA DIPANDU SEBELAH KIRI DAN NEGARA LAIN SEBELAH KANAN?

Hanya 35 peratus daripada negara di dunia yang mempraktikkan pemanduan di sebelah kiri jalan raya (stereng sebelah kanan – RHD) dan negara yang mempraktikkan amalan ini biasanya bekas koloni British suatu ketika dahulu termasuklah Malaysia.

Ini merupakan sesuatu yang yang unik kerana baki negara lain (65 %)mengamalkan pemanduan di sebelah kanan jalanraya (stereng di sebelah kiri – LHD) . Inilah juga faktor yang menyebabkan ada kereta yang dihasilkan dengan pemanduan sebelah kanan dan ada yang di sebelah kiri.

SEJARAH

Suatu ketika dahulu, hampir semua manusia menggunakan laluan sebelah kiri kerana ia dirasakan paling munasabah untuk golongan feudal yang serba ganas.

Hampir semua manusia menggunakan tangan kanan khususnya untuk menghayun pedang ataupun senjata lain. Jadi dengan menggunakan laluan di sebelah kiri, mereka mempunyai kelebihan untuk bertempur dengan kekuatan tangan kanan.

Seperkara lagi, dikatakan mereka yang menggunakan tangan kanan biasanya menaiki kuda dari sebelah kiri, malah sebenarnya cukup susah untuk menaiki seekor kuda dari sebelah kanan kerana dikhuatiri tersangkut dengan pedang yang juga dipakai di sebelah kiri.

Jadi disebabkan kuda dinaiki dari sebelah kanan, penunggang juga mesti menunggang di sebelah kiri jalan raya. Naik dari sebelah kanan memang saja nak kena langgar la jawabnya.

Kemudian pada sekitar 1700, kereta kuda besar mula diperkenalkan untuk membawa barangan ke seluruh negara khususnya di Perancis dan Amerika. Kereta kuda ini ditarik oleh beberapa ekor kuda dan tidak mempunyai tempat pemandu.

Pemandu biasanya duduk di atas kuda terakhir di sebelah kiri. Untuk memudahkan beliau mengawasi sesiapa yang berselisih dengan beliau, kereta kuda mesti berada di sebelah kanan jalan. Inilah antara penyebab awal kepada pemanduan di sebelah kanan jalan.

REVOLUSI PERANCIS

Di Eropah pula, sebelum Revolusi Perancis, ramai golongan aristokrat yang menggunakan laluan di sebelah kiri dan memaksa golongan bawahan menggunakan laluan kanan. Namun selepas peristiwa pemberontakan di Bastille sehingga tercetusnya revolusi membuatkan para pembesar lebih merendah diri dan mengunakan laluan kanan sama seperti golongan bawahan.

Undang-undang rasmi penggunaan jalan raya di sebelah kanan dikuatkuasakan di Paris pada tahun 1794, setahun selepas Denmark yang memulakannya pada tahun 1793.

Penaklukan yang dimulakan oleh Napoleon kemudian membawa bersama idea penggunaan jalan raya di sebelah kanan sama seperti Perancis. Antara negara yang terlibat ialah Belgium, Belanda, Switzerland dan beberapa negara lagi.

Negara-negara yang menentang Napoleon pula masih kekal dengan pemanduan di laluan kiri.

Negara-negara tersebut ialah England, Hungary dan Portugis. Perbezaan antara laluan kiri dan kanan di Eropah ini berlanjutan sehingga lebih dari seratus tahun, sehingga Perang Dunia Pertama.

KOLONI BRITISH

Walaupun sebahagian besar negara bertukar kepada pemanduan di laluan sebelah kanan, Britain berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan pemanduan di lorong sebelah kiri. Ini juga merupakan punca kenapa negara-negara bekas koloni British seperti India, Australia dan beberapa negara di Afrika masih mengekalkan pemanduan di sebelah kiri jalan.

Hanya Mesir bertukar kepada pemanduan di sebelah kanan jalan kerana ia pernah ditakluk oleh Napoleon sebelum dimerdekakan oleh British.

Jepun bukannya sebuah koloni British tetapi juga menggunakan sebelah kiri jalan untuk pemanduan. Ini mungkin kerana ia menerima bantuan teknikal daripada British untuk pembinaan kereta api pertama di Jepun. Dan sudah semestinya kesemua lokomotif tersebut mempunyai sistem pemanduan di sebelah kiri trek laluan.

INDONESIA

Sewaktu Belanda sampai ke Indonesia ada tahun 1596, mereka membawa bersama tabiat pemanduan di laluan sebelah kiri mereka. Namun, selepas Napoleon menjajah Belanda, mereka telah menukar kepada pemanduan di sebelah kanan. Tanah jajahan mereka seperti Indonesia dan Surinam masih kekal dengan pemanduan di sebelah kiri jalan.

Boleh dikatakan kebanyakan keputusan untuk menukar sistem pemanduan dari lorong kiri ke kanan jalanraya dilakukan atas  dasar politik. Contohnya sewaktu Hitler menakluk Austria, beliau memerintahkan sistem pemanduan diubah dari kiri ke kanan hanya dalam masa satu malam.

Ia menjadi kelam kabut kerana para pengguna tidak menyedari tentang pertukaran tanda isyarat jalan.

PENGARUH AMERIKA

Kuasa pemanduan di sebelah kanan menjadi bertambah kuat bila Amerika Syarikat mula menghasilkan kereta untuk digunakan di sebelah kanan jalan. Mereka turut menggunakan formula yang sama untuk model-model eksport menyebabkan satu demi satu negara bertukar ke pemanduan di sebelah kanan jalan.

Malah pada tahun 1960, ada ura-ura untuk menukar sistem jalan raya British, namun ditentang keras oleh golongan konservatif kerana billion pound akan dibazirkan hanya untuk menukar tanda-tanda isyarat jalan raya.

Suatu keputusan yang amat bijak pada pandangan kami. Duit yang ada bukannya untuk digunakan untuk perkara yang tidak penting.

Namun ada juga negara yang bertukar dari pemanduan di sebelah kanan ke pemanduan di sebelah kiri.

Contohnya Samoa pada 7 September 2009. Walaupun telah menggunakan sistem pemanduan di sebelah kanan selama lebih 20 tahun, Perdana Menteri Samoa ketika itu membuat keputusan untuk menukarnya untuk memudahkan mereka mengimport kereta-kereta stereng sebelah kanan yang lebih murah dan tahan lasak dari Jepun, Australia dan New Zealand.

Satu langkah yang lagi bijaksana lagi tepat.

Apapun, stereng di sebelah kanan (RHD) adalah pemanduan terbaik. Kalau tidak, mimpilah nak beli kereta sport dan recond dari Jepun!

BACA: KOENIGSEGG REGERA R STERENG KANAN UNTUK AUSTRALIA

BACA: UNTUK DIJUAL – E30 JDM 325i LHD

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button