Buletin

250 UNIT DALAM 30 MINIT, GR YARIS DITERIMA BAIK DI AUSTRALIA!

Toyota GR Yaris nampaknya diterima baik di Australia dengan 560 unit tempahan ketika sesi pra jualan dibuka pada 23 September 2020. Tempahan itu dibuka awal sebelum pelancaran rasmi pada November 2020.

Permintaan luar biasa adalah susulan diskaun harga sebanyak AUD10,000 (RM29,611) untuk 1,000 unit pertama GR Yaris. Sesi tempahan dalam talian berjaya meraih 250 unit jualan hanya dalam tempoh 30 minit pertama.

24 jam selepas pembukaan jualan, sebanyak 560 unit tempahan diterima.

GR Yaris dijual pada harga diskaun iaitu AUS 39,950 (RM118,296) (drive-away/termasuk pelbagai cas) dan merupakan strategi bagi menggalakkan permintaan.

Untuk menempah, pelanggan perlu meletakkan deposit sebanyak AUD 1,000. Harga runcit yang disyorkan ialah $49,500 (RM146,574).

Berdasarkan sambutan yang diterima, tempahan di New South Wales paling tinggi iaitu sebanyak 226 unit, diikuti Queensland sebanyak 124 unit dan 90 unit dari Victoria.

Dari segi warna, dua pertiga pelanggan memilih putih manakala baki tempahan adalah untuk merah dan hitam dengan jumlah hampir sama.

Salah seorang daripada pembeli terawal ialah juara rali Australia iaitu Harry Bates dan bersama-sama bapa beliau yang merupakan juara empat kali rali Australia dan adik beliau selaku rakan sepasukan bagi mendapatkan GR Yaris berwarna putih.

Neal Bates iaitu bapa kepada Harry Bates memenangi tiga daripada empat rali Australia dengan memandu Celica GT-FOUR.

Harry Bates juga salah seorang daripada warga Australia terawal yang berpeluang untuk memandu GR Yaris ketika model prototaip pra produksi diuji di Portugal pada tahun 2019.

Diasaskan dari kejayaan di dalam sukan permotoran, GR Yaris adalah model homologasi Toyota pertama untuk WRC selepas pengeluaran Celica GT-Four ditamatkan pada tahun 1999.

GR Yaris dibangunkan oleh TOYOTA GAZOO Racing dengan kerjasama Tommi Mäkinen Racing iaitu pasukan di sebalik kejayaan di dalam WRC.

Model hot hatch itu digerakkan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 268 hp dan tork 370 Nm. Enjin berkuasa tinggi itu dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual pintar (iMT) dengan pacuan semua roda GR-FOUR.

Turut canggih ialah teknologi bantuan pemanduan Toyota Safety Sense dan kelengkapan standard lain seperti kemasukan pintar dan penghidup tanpa kunci, Apple CarPlay, Android Auto dan sistem audio lapan pembesar suara JBL.

BACA: TOMMI MÄKINEN DILANTIK PENASIHAT PERMOTORAN TOYOTA!

BACA:  PERINCIAN TOYOTA GR YARIS JDM – KECIL CILI PADI!

BACA: BAGAIMANA BASF & TOYOTA BUAT? KERUSI SIENNA 30% LAGI RINGAN!

Kredit foto: Toyota Australia

Google ads
Back to top button