TOMMI MÄKINEN DILANTIK PENASIHAT PERMOTORAN TOYOTA!
Tommi Mäkinen telah membuktikan kehebatannya di dalam dunia rali sama ada sebagai pemandu atau prinsipal pasukan. Kepakaran Tommi Mäkinen terus dihargai apabila dilantik sebagai Penasihat Permotoran Toyota Motor Corporation (Toyota) bermula Januari 2021.
Tommi Mäkinen juga dilantik bagi memenuhi misi Toyota untuk terus menghasilkan kereta yang lebih baik. Sumbangan juara rali itu dalam penyertaan semula Toyota ke arena rali dunia sejak 2017 begitu menggagumkan.
Beliau bersama tenaga kerja profesional dari Tommi Mäkinen Racing Oy telah membantu Toyota membangunkan kereta rali yang kompetitif termasuk membina pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team bagi bersaing di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Toyota sebelum 2017 telah lama meninggalkan perlumbaan rali dunia.
Pada musim kedua bersaing, Toyota berjaya memperolehi kejuaraan dunia kategori pengeluar dan pada musim berikutnya menjulang kejuaraan dunia bagi kategori pemandu dan jurupandu arah.
Berbekalkan kepakaran yang ada Toyota yakin Tommi Mäkinen mampu untuk menyumbang dalam bidang permotoran dengan lebih luas seperti pembangunan model GR dari sukan permotoran, perancangan strategik aktiviti permotoran dan pembangunan bakat pelumba.
Dengan perlantikan sebagai penasihat permotoran, Toyota turut menanti pendapat beliau dalam formulasi strategi dan operasi organisasi.
Perlantikan Tommi Mäkinen juga mempunyai implikasi seperti berikut:
- Projek WRC yang dibina oleh Tommi Mäkinen Racing Oy – TOYOTA GAZOO Racing WRT serta rekaan dan pembangunan kereta rali dunia akan diuruskan secara terus oleh Toyota.
- Bermula 2021, operasi WRC akan dijalankan oleh TOYOTA GAZOO Racing Europe GmbH, syarikat ahli kumpulan Toyota yang bertanggungjawab dalam fungsi utama permotoran Toyota di Eropah.
- TGR WRT akan meneruskan aktivitinya di Finland dan Estonia menggunakan sumber manusia yang ada dan beberapa kemudahan yang asalnya dari TMR.
Ini bermakna Toyota akan menguruskan secara terus operasi rali manakala Tommi Mäkinen memberikan input dan panduan selain terlibat dalam model-model berprestasi Toyota pada masa depan serta membantu menghasilkan kereta yang lebih baik.
TMR pula akan terus bekerjasama dengan Toyota dalam bidang permotoran dan beberapa perkara lain.
Selain membantu dalam penyertaan semula Toyota ke WRC, Tommi Mäkinen turut mempunyai peranan penting dalam pembangunan Toyota GR Yaris.
BACA: SISTEM TOYOTA INI ELAK SALAH TEKAN MINYAK DAN BERLANGGAR
BACA: PADA 1978, TOYOTA STARLET KP61 DIPERKENAL DI JEPUN (PACUAN BELAKANG)