
2TZ-FE & 2TZ-FZE, ENJIN TOYOTA PELIK. PASANG SENGET
Mungkin anda kurang atau tidak pernah mendengar berkenaan enjin ini, namun satu ketika dulu antara tahun 1994 ke tahun 1999 Toyota pernah mengeluarkan enjin dengan kod 2TZ-FE (aspirasi normal) dan 2TZ-FZE (supercaj)
Enjin ini dibangunkan dengan sesaran 2400cc 4 silinder sebaris dengan pilihan aspirasi biasa bagi menjana 133 kuasa kuda dan 206Nm tork dengan nisbah mampatan 9.3:1. Ia ditawarkan dengan sistem DOHC lengkap dengan 16 injap
Bagi varian yang lebih berkuasa, ia menggunakan supercaj bagi menghasilkan 161 kuasa kuda dan 273Nm tork. Mungkin pada hari ini kuasa ini nampak biasa sahaja, namun 31 tahun lepas kuasa ini boleh dipuji memandangkan enjin ini tiada ciri VVTi dan juga VVTLi

Selain dipacu dengan menggunakan rantai, blok enjin dihasilkan dari cast iron manakala kepala silinder dibuat dengan menggunakan aluminium dengan sistem suntikan bahan api PFI. Namun apa yang menarik ialah cara enjin ini dipasang pada Toyota Previa yang merupakan sebuah MPV
Bagi mendapatkan ruang kabin yang besar, enjin ini dipasang senget sebanyak 75 darjah dari garisan menegak. Hasilnya ruang dalam Previa/Estima berjaya dibesarkan untuk keselesaan penumpang terutama bagi perjalanan jarak jauh
Namun disebabkan susunan enjin yang senget, enjin ini hanya mampu menawarkan jangka hayat sejauh 200,000km sahaja dengan syarat pemilik perlu menukar minyak pelincir dari gred 5W-30. Terdapat beberapa masalah lain yang turut dikesan oleh pemilik.

Antaranya ialah:
1. Enjin mudah panas disebabkan aliran angin tidak cukup dan aliran cecair penyejuk yang kurang
2. Disebabkan keadaan yang hampir terbaring, enjin ini sensitif dengan kualiti dan kuantiti minyak pelincir
3. Oil Seal berhampiran aci engkol mudah bocor pada jarak 120,000km
4. Disebabkan kedudukan enjin, kerja penyelenggaraan adalah agak sukar untuk dilakukan



