
RASMI: KAWASAKI Z650RS KINI DI MALAYSIA – RM37,200
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dengan rasminya melancarkan Kawasaki Z650RS untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM37,200. Motosikal tersebut diperkenalkan ketika majlis pembukaan rasmi Kawasaki Puncak Alam yang berlangsung pada Sabtu.

Z650RS merupakan motosikal kedua dari keluarga retro moden Kawasaki yang diperkenalkan di Malaysia selepas Z900RS. Namun begitu, berbeza dengan Z900RS yang merupakan model CBU dari Jepun, Z650RS pula adalah model CKD dan dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah.
Untuk rekod, Kawasaki Z650RS membuat debut global pada tahun 2021 sebelum model itu dinaik taraf dengan fungsi KTRC (Kawasaki Traction Control) pada 2024 menyertai Versys, Ninja dan Z 650.

Z650RS merupakan tawaran yag lebih mampu milik (berbanding Z900RS) ekoran dipacu enjin parallel-twin 649cc yang sama terdapat pada model Z650 serta Ninja 650 dan hasilnya, menawarkan 67hp pada 8,000rpm dan 65.7Nm pada 6,500rpm.
Meskipun begitu, Kawasaki telah menala semula enjin ini bagi menghasilkan respon yang lebih baik ketika di rpm rendah dan pertengahan.

Seperti model Z650 dan Ninja 650, model baharu ini juga tampil dengan fork depan 41mm serta ‘horizontal link shock’ di bahagian belakang dengan preload boleh laras.
Sistem membrek pula dikendalikan kaliper brek dua piston berkembar di bahagian depan yang mencengkam cakera brek 300mm dan dibantu Bosch ABS dwi-saluran.
Antara ciri menarik lain ditawarkan:
- lampu LED penuh
- meter analog dengan paparan digital
- klac assist/slipper
- ketinggian tempat duduk 820mm