Artikel Pilihan

5 ENJIN VETERAN YANG MASIH LAGI AKTIF

Hari demi hari kereta yang dikeluarkan adalah semakin moden dan berteknologi tinggi. Tapi semua kereta perlukan enjin (ataupun motor elektrik) dan sesetengah enjin yang digunakan memang sudah sangat lama. Ada yang diperkenalkan 10 tahun lepas dan ada juga yang dan mencecah 20 tahun. Kalau manusia memang masih dikira muda remaja tetapi bagi sebuah enjin ia sebenarnya sudah mencecah status veteran macam Pak Amid.

Walaupun enjin-enjin ini kerap dinaik taraf tetapi hakikatnya ia masih enjin yang sama seperti mula-mula diperkenalkan. Tapi kalau dah ia enjin yang baik apa salahnya kan?

Kenapa enjin yang sama dikekalkan untuk jangka masa yang panjang?

Pembangunan enjin perlukan kos yang besar dan masa yang panjang.

Walaupun kereta elektrik semakin mendapat tempat tetapi nadi sebenar sebuah kereta masih lagi pada enjinnya. Tak kira betapa cantik kereta yang dihasilkan ia tidak berguna bila digandingkan dengan enjin yang teruk. Kalau ikut sejarah pun mana ada kereta hebat yang menggunakan enjin bermasalah, ia mesti digandingkan dengan enjin-enjin lejen jugak.

Tapi kos pembangunan enjin memang sangat tinggi dan tidak sama dengan kos pembangunan sebuah kereta baru. Kos pembangunan sebuah enjin baru yang akan dikeluarkan secara besar-besaran boleh mencecah RM1.8 billion! Bukan kecik anak punya belanja ye tuan-tuan.

Kos tersebut bukan hanya melibatkan proses R&D tetapi juga meliputi kos untuk menghasilkan peralatan produksi untuk satu-satu enjin tersebut. Barisan produksi itu satu hal. Kemudian terdapat pula regulasi tahap emisi yang harus dipatuhi. Itu belum campur ECU baru yang mesti diselaraskan dengan enjin baru tadi.

Nissan VQ 35 DE

Nissan merupakan antara pengeluar yang menghasilkan enjin V6 dalam kuantiti yang besar. Bermula dengan enjin kod VG yang digunakan buat pertama kalinya pada tahun 1983 untuk model Cedric. Enjin VQ yang masih digunakan sekarang diperkenalkan pada tahun 1994 dan sehingga kini masih lagi digunakan pada model Elgrand.

Terdapat dua varian enjin ini yang dihasilkan, 2.0-liter dan 3.5-liter. Ia kemudiannya dinaik taraf dan dinamakan VQ37VHR yang lengkap dengan teknologi pemasaan injap ataupun VVEL dalam bahasa Nissan. Kini walaupun sudah berusia lebih 20 tahun enjin ini masih bertahan dan mungkin akan terus digunakan untuk jangkamasa yang lama.

Subaru EJ20

Enjin EJ20 digunakan buat pertama kali pada tahun 1989 untuk model Subaru Legacy. Ia juga merupakan enjin DOHC 4-injap pertama Subaru dan selepas menjalani proses naik taraf, ia masih lagi digunakan tahun demi tahun.

Walaupun enjin dengan kod FB telah diperkenalkan sebagai enjin boxer generasi baru tapi EJ20 masih dilengkapkan pada model WRX untuk prestasi yang lebih tinggi. Tapi tidak mustahil prestasi enjin FB akan ditingkatkan bagi menyaingi dan mengatasi enjin EJ.

Satu-satu sebab Subaru belum menggantikan enjin EJ dengan enjin FB ialah kerana potensi pada EJ adalah lebih sesuai untuk perlumbaan sukan motor.

Toyota 2AZ-FE

Enjin ini mula diperkenalkan pada Toyota Estima generasi kedua pada tahun 2000. Ia mempunyai sesaran 2.0 dan 2.4-liter. Secara asasnya tidak ada apa yang unik dengan enjin ini kerana ia merupakan enjin DOHC dengan 4-injap setiap selinder.

Ia telah dinaik taraf daripada 2.4L 2AZ-FE kepada 2.5L 2AR-FE untuk kegunaan Alphard dan Vellfire tetapi untuk Estima, ia kekal menggunakan enjin 2AZ-FE.

Naik taraf baru untuk enjin ini termasuklah sistem pancitan terus D4 dan sistem VVT-i selain sistem hibrid untuk model-model tertentu tetapi secara asasnya ia adalah enjin yang sama dihasilkan sejak hampir 20 tahun lalu.

Mitsubishi 6G72

Jarang sebenarnya terdapay enjin yang mampu bertahan selama hampir 33 tahun seperti enjin 6G72 Mitsubishi ini. ia mula diperkenalkan pada tahun 1986 dan kini masih mendapay tempat di dalam ruang enjin Pajero.

Rekaannya yang ringkas tetapi mampu dinaik taraf termasuk penggunaan menjadikan enjin ini sangat bernasib baik. Ia juga boleh dibesarkan sesarannya sehingga ke 3L.

Pada zaman kegemilangannya ia turut digunakan oleh Mitsubishi GTO, Pajera dan juga Diamante tetapi ia ditala khusus sebagai enjin berprestasi tinggi. Kini ia turut dilengkapkan dengan teknologi Mivec untuk membolehkannya kekal bersaing pada zaman moden ini.

Mitsubishi 4N14

Masih lagi sebuah enjin Mitsubihi tapi kali ini giliran enjin 4N14 2.2L disel turbo yang dipasangkan pada Mitsubishi Delica D5. Walaupun mula diperkenalkan hanya pada tahun 2007 tapi ia merupakan enjin disel model dengan prestasi yang mengkagumkan.

Enjin ini juga telah menjalani proses naik taraf untuk disesuaikan dengan Delica D5 model baru. Dengan kata lain enjin ini juga berevolusi seperti organisma hidup. Sayangnya Delica D5 tidak dijual di Malaysia, kalau tak memang ada pilihan untuk pengguna selain Toyota Hiace.

Walaupun menghasilkan enjin terbaik dan ideal merupakan cita-cita semua jurutera tetapi kepuasan menaik taraf enjin lama dan memberinya nyawa baru menawarkan kepuasan tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.  

Google ads
Back to top button