Artikel Pilihan

5 FAKTA MENARIK TENTANG HONDA INTEGRA DC2 TYPE R – ORI PUNYA BUKAN KLON OKEY

Honda Integra Type R merupakan satu daripada hadiah dekad 90 an kepada dunia. Ia mempunyai impak yang besar kepada peminat automotif dengan kawalan yang sangat baik, kotak gear manual lima kelajuan yang mantap  dan enjin VTEC 1.8 liter yang dihasilkan dengan tangan yang mampu diperah sehingga 8,700rpm. Hasilnya ialah kuasa maksima 197hp menjadikannya roket jalanan yang digeruni.

Top Gear menyifatkan yang kereta ini memang dihasilkan untuk didera oleh pemandunya. Jadi kalau anda jenis memandu tekan minyak sikit tukar gear, tekan sikit tukar gear memang kereta ini bukan untuk anda sebenarnya. Kalau dah terbeli tu sedekah je kat kami. Tahulah kami macam mana nak menderanya.

Ia disifatkan sebagai kereta pacuan hadapan terbaik di dunia dan dakwaan tersebut memang tak salah sedikit pun. Jadi mari kita tengok kat mana hebat sangat Honda Integra DC2 Type R.

Penanda Aras Kepada Semua Model Sport Honda

Benar, Integra Type R menjadi penanda aras baharu untuk semua kereta sports Honda selepasnya. Lebih-lebih lagi yang menggunakan lencana Type R. Ia sebenarnya cukup penting untuk Honda sendiri sebenarnya. Walaupun mereka mempunyai pengalaman yang luas sebagai pembekal enjin untuk perlumbaan Formula 1 dan membantu Nelson Piquet, Ayrton Senna dan Nigel Mansell memenangi lima kejuaraan namun mereka tidak pernah dilabelkan sebagai pengeluar kereta berkuasa tinggi.

Kehadiran Integra Type R mengubah semuanya. Ia menyuntik DNA perlumbaan dan semangat kesungguhan untuk mencapai tahap kejuruteraan yang lebih tinggi pada jenama Honda.

Pilihan Warna Yang Sangat Terhad

Anda boleh memilih apa sahaja warna yang dimahukan sama ada putih, hitam atau merah. Sudah tentu warna putih menjadi pilihan ramai dan Honda menggelarkan warna ini sebagai Championship White. Nama pun dah cukup power tuan dan bukannya Putih Salji ataupun Putih-Putih Melati. Kalau bagi nama Qu Putih abang lari terus dik.

Ia Mengambil Masa Untuk Dihasilkan

Tidak seperti kereta lain keluaran Honda, Integra Type R dihasilkan dengan lebih cermat. Bukan bermaksud model lain dihasilkan sambil lewa tapi perhatian untuk model ini adalah lebih terperinci. Hanya 25 unit sahaja dihasilkan setiap hari kerana semua intake port Type R digilap dengan tangan. Ia juga dilengkapi dengan inlet valve khas, throttle body ang lebih besar dan LSD yang memastikan Honda benar-benar serius. 187bhp pada 8000rpm adalah buktinya.

Hari ini kalau anda masih berjaya menemui sebuah Integra DC2 Type R ori dalam keadaan baik. Hayatilah penutup atas enjinnya yang berwarna merah terang. Catnya mungkin sudah pudar atau menggelupas di sana-sini tapi sistem VTEC nya masih akan mengejutkan kereta pilihan anak-anak tiktok yang baharu nak naik.

Ia Mempunyai Sistem Aero Yang Berfungsi Sepenuhnya

Tidak seperti kereta-kereta moden yang seolah-olah ingin menjerit laparkan perhatian tentang rupa paras mereka, Integra Type R ni nampak lebih santai (macam kami jugak). Ia mempunyai bodykit isitimewa yang membezakannya dari Integra standard. Dalamannya hampir sama dengan Integra standard cuma dibezakan dengan tempat duduk perlumbaan dan tombol gear istimewa Type R selain lencana Honda berwarna merah (sekarang dah ada jual kat sopi… jem betul).

Tapi jangan terpedaya dengan spoilernya yang nampak rilek tu. Ia bukan untuk berlagak ataupun untuk jemur kasut sekolah anak anda. Malah ia sebenarnya berfungsi mengurangkan daya angkatan sebanyak 30 peratus. Bukan itu sahaja, aero lip di bahagian hadapan juga memastikan kereta ini cukup stabil semasa memecut.

Kalau itu belum mencukupi, Honda turut menambah titik pateri untuk mengukuhkan lagi chasis Type R ini selain mengunakan pendakap topang yang diperbuat daripada aluminium.

Ia Sangat Ringan Tuan-tuan

Berat Integra Type R yang hanya sekitar 1,140kg ini sebenarnya menjadi impian kereta-kereta sports moden zaman sekarang. Dengan segala penambahan sistem elektronik dan sistem keselamatan adalah hampir mustahil untuk mencapai berat seperti Integra Type R ini. Jurutera Honda berhasil mengurangkan hampir 40kg berat pada Integra Type R berbanding Integra GS-R.

Penambahan titik kimpalan dan pendakap topang langsung tidak menjejaskan berat keseluruhan kereta ini. Ia sekali gus membantu ia membuat pecutan 0-100kmj hanya dalam masa 6.5 saat. Cukup mengkagumkan bagi sebuah kereta sports tahun 90an.

Bagaimana mereka berhasil mengurangkan begitu banyak berat? Jawapannya ialah penggunaan cermin hadapan yang 10 peratus lebih tipis, rim 15 inci yang ringan dan material penebat bunyi dikeluarkan terus. Itu pun belum cukup jadi mereka turut membuang sun-roof, cruise control dan wiper belakang. Tak penting pun semua tu untuk kereta sports.

Hasilnya lahirlah sebuah lagenda Type R yang kemudian membuka jalan untuk generasi baharu kereta-kereta laju keluaran Honda. Tapi kena ingat tak semua yang ada emblem merah tu Type R.

Google ads
Back to top button