
10 KERETA TERBAIK PERNAH DIHASILKAN TOYOTA UNTUK DUNIA – KAMI TENGAH TUNGGU YANG KE-11
Toyota mempunyai pengaruh dan jualan yang sungguh hebat, kalau tidak takkanlah mereka berjaya menjadi pengeluar kereta terbesar di dunia. Artikel ini ialah sebagai memperingati 10 model ikonik yang pernah dihasilkan Toyota untuk dunia tapi entah di mana silapnya sekarang ini Toyota memang agak lemau. Tengok sahaja di atas jalan raya kita dan memang tak ada model lain selain Vios G, Vios S, Vios TRD ori dan Vios TRD copy ori. Sekali sekala nampaklah Toyota Altis, itu pun rasanya ia tidak banyak bezanya dengan Vios cuma harganya sedikit mahal. Bagi yang tak minat kereta memang tak boleh nak beza pun antara Altis dan Vios.
Kami harap Toyota akan segera bangkit dan terus menyumbangkan model-model hebat seperti 10 model di bawah ini. Harap-harap Supra baru yang dikatakan bakal muncul adalah sehebat model terdahulu.
- Toyota 2000GT
Kolaborasi Toyota-Yamaha telah berjaya menghasilkan model yang sebelumnya dikatakan dibangunkan oleh Nissan dan Yamaha sebagai model Z Nissan yang pertama. Bila keduanya membawa hala masing-masing Toyota meneruskan projek tersebut dengan Yamaha dan hasilnya lahirlah satu model yang tercantik pernah dihasilkan di Jepun dan dinamakam 2000GT. Ia mempunyai rupa seiras dengan Jaguar E-Type dan dilengkapi dengan enjin 2.0-liter yang ditala oleh Yamaha dan mampu menghasilkan 150 hp kuasa maksima ke tayar belakang untuk pecutan pantas.
Terdapat juga model edisi khas dihasilkan dan dinamakan MF-12 dengan enjin yang lebih besar, 2.3-liter. Walaubagaimanapun model yang paling terkenal tentulah yang ditampilkan dalam filem James Bond berjudul “You Only Live Twice” lakonan Sean Connery.
- Toyota Celica 1970
Generasi pertama Toyota Celica merupakan jawapan Jepun kepada model terkenal AS, Ford Mustang. Ia diasaskan daripada model Toyota Carina sedan tetapi diubahsuai dengan penampilan fastback dan konfigurasi tempat duduk 2+2. Pelbagai pilihan enjin ditawarkan tetapi model terhebatg semestinya dengan enjin 4 selinder 2.2-liter yang mampu menghasilkan 96 bhp kuasa. Terdapat juga versi edisi terhad dengan rekaan Porsche dengan kotak gear 5-kelajuan close ratio yang hanya boleh didapati di Jepun.
- Toyota AE86 Trueno
Perlu lagi ke diperkenalkan? Ia merupakan raja bagi peminat-peminat JDM dan menjadi watak utama dalam pelbagai komik dan siri animasi terutamanya Initial D yang menjadi fenomena. Ia merupakan kereta yang digunakan oleh Takumi Fujiwara hero siri itu yang menggunakannya untuk berlumba dan juga menghantar tofu. Bukan macam setengah orang kita yang nak bisnes pisang lima tandan pun pakai Toyota Hilux TRD. Haih.
BACA: INILAH 10 MODEL KERETA YANG TELAH MENGUBAH DUNIA
Sebagai jentera drift pilihan ramai, harganya pun naik meroket di pasaran.
- Toyota MR2 1989
Model sports coupe enjin di tengah keluaran Toyota ini bolehlah disifatkan sebagai sebuah bayi Ferrari. Pelbagai pilihan enjin diperkenalkan yang yang paling hebat ialah enjin 2.0-liter 3S-GTE yang mampu menghasilkan 200 bhp kuasa sebelum disalurkan ke tayar belakang.
- Toyota Supra Mk4
Selain daripada Trueno AE86, Supra ini juga merupakan antara model Toyota yang terkenal di layar perak khususnya untuk generasi muda. Lama sebelum Paul Walker dan Vin Diesel memandunya di layar perak kereta ini sudahpun cukup terkenal sebenarnya. Apatah lagi bila digandingakan dengan antara enjin terbaik pernah dihasilkan, 2JZ yang mampu menghasilkan hampir 280 bhp dengan pengecas turbo.
- Toyota Celica GT-Four
GT-Four merupakan nama yang diberikan pada Celica berprestasi tinggi. Ia dihasilkan khusus sebagai model homologasi rali dengan jumlah yang terhad (2500 unit) dan dilengkapi dengan enjin turbo dan sistem pacuan semua roda. Resipi yang tepat untuk menakluk laluan-laluan khas WRC.
- Toyota Altezza
Ia juga dipasarkan dengan nama Lexus IS tetapi di Malaysia ia lebih dikenali dengan nama Altezza. Mudah dikenali kerana mempunyai lampu belakang jernih yang menjadi modal kereta aksesori memasarkan produk lampu aftermarket. Walaupun Altezza dipasarkan sebagai kereta sedan eksekutif, ia juga mempunyai varian yang menggunakan enjin 2JZ sama seperti Supra. Ini juga bermakna ia mmepunyai potensi untuk diubahsuai oleh kaki-kaki kereta.
- Toyota GT-One Road Car
Ini memang rare betul. Ia sebenarnya diasaskan daripada model perlumbaan Le Mans TS020 khas untuk kegunaan jalan raya sebagai memenuhi syarat untuk menyertai perlumbaan kelas GT1. Kuasanya? Hmm 600 hp yang membolehkannya memecut sehingga 380 km/j. Jangankan Janna Nick, Fatah Amin pun confirm tak boleh control kereta ni.
Hanya dua unit dihasilkan dan berbeza dengan model perlumbaan sebenar, yang ni ada aircond. Fuhh nyaman.
- Toyota AE86 2012
Dihasilkan dengan kerjasama Subaru dan mengundang seribu persoalan. Ada yang suka dan ada yang tidak. Ia menggunakan enjin boxer 2.0-liter yang dikatakan kurang berkuasa tetapi disokong oleh peminat-peminatnya sebagai pengganti kepada model AE86 terdahulu. AE86 dulu pun memang underpower kan? Jadi apa nak pelik sangat.
- Lexus LFA
Ini pun kira Toyota jugak ke? Kenapa tidak? Leus memang ditubuhkan dan dimiliki oleh Toyota. Ia disifatkan sebagai model berprestasi tinggi terbaik dari Toyota dengan teknologi maju yang dinantikan ramai peminat. Inilah supercar moden dengan panel badan gentian karbon dan enjin V10 dengan tindak balas dan ledakan kuasa terbaik.
Enjinnya mampu dipacu cukup laju sehinggakan tidak ada meter RPM analog yang mampu mengejar kelajuan enjinnya. Sebagai penyelesaian, Toyota telah menghasilkan paparan digital agar lebih tepat dan pantas.