
5 PENGELUAR KERETA MEWAH YANG SEDANG BERLUMBA UNTUK MENEWASKAN TESLA
Tesla bukanlah satu nama besar sebelum 2013, malah umur pun baru setahun jagung kalau dibandingkan dengan pengeluar ternama lain. Tapi sejak kemunculannya, ia telah mendominasi pasaran dan liputan mengenai kereta elektrik di seluruh dunia. Tapi itu mungkin bakal berakhir kerana syarikat-syarikat lawan mereka kini sedang berusaha untuk menyainginya dengan mengkaji Model S dan Model X Tesla termasuklah pasaran kenderaan EV secara khusus.
Kini nama-nama besar seperti Audi, BMW, Mercedes-Benz, Jaguar dan Porsche semakin hampir untuk melancarkan kenderaan EV mereka sendiri dan semestinya akan menggugat pasaran yang selama ini dikuasai oleh Tesla. Memang sebelum ini sudah ada kereta EV yang berjaya dipasarkan seperti Nissan Leaf dan Chevrolet Bolt tapi jenama-jenama premium ini akan membuka lembaran baru kereta-kereta EV yang mampu menewaskan Tesla.
Audi
Sebagai sebahagian daripada Volkswagen Group, Audi mempunyai sokongan kewangan yang cukup kukuh dan lebih penting lagi pengeluar Jerman ini semestinya ingin menghapuskan ingatan ramai terhadap skandal Dieselgate mereka.
Model yang menjadi sandaran Audi ialah e-tron crossover yang bersaiz sama seperti Audi Q5 tetapi cukup sarat dengan teknologi dan mampu bergerak hampir 400 kilometer dengan sekali cas. Output maksima ialah sekitar 402 hp dan Audi juga sedang membangunkan model e-tron GT, sebuah model coupe empat-pintu yang dikatakan mampu mencabar Tesla Model S.
BMW
Divisyen i BMW tidak mencapai sasaran yang diinginkan oelh syarikat walaupun mempunyai kereta yang bagus seperti i3 dan i8. Keduanya bagaimanapun ditenggelami oleh Tesla dengan model EV mereka. Kemungkinan besar i3 bakal digugurkan dan BMW akan melancarkan model sepenuhnya pada tahun 2020 yang diasaskan dari model crossover X3. Ia bakal dikenali dengan nama iX3.
BMW juga cukup komited untuk melancarkan 12-buah model EV menjelang tahun 2025. Model EV 3-Series dan Mini EV dikatakan telah diuji dan menjelang 2021 BMW akan memperkenalkan model dengan nadi elektrik sepenuhnya terbaru yang mampu menyaingi Tesla dengan jarak perjalanan hampir 600 kilometer dengan sekali cas.
BACA: SYARIKAT INDUK HAVAL PERKENAL JENAMA KENDERAAN ELEKTRIK BAHARU – ORA
Mercedes-Benz
Tidak mahu ketinggalan berbanding rakan-rakan senegara mereka, Mercedes turut mempunyai perancangan EV mereka sendiri. Contoh terdekat ialah EQ S yang akan dilancarkan dua tahun lagi dan merupakan model S-Class elektrik sepenuhnya.
Berbeza dengan BMW, Mercedes mahu model EV pertama mereka dalam bentuk coupe empat-pintu dan bukannya crossover. Sama seperti BMW, barisan varian EQ EV Mercedes hanya akan dilancarkan beberapa tahun akan datang.
Porsche
Untuk sekian lamanya, pembeli kereta mewah tertarik dengan model yang bergaya dan baru seperti Porsche Panamera. Tetapi setelah ramai pembeli Panamera beralih ke ke Tesla Model S, Porsche dengan segera mampu mengesan ancaman yang dibawakan oleh Tesla. Mereka segera bertindak dan dalam sedikit masa akan melancarkan Mission E Concept.
Model konsep itu akan dikenali dengan nama Taycan bila dilancarkan tahun 2020. Ada juga khabar angin yang menyatakan model Macan elektrik juga sedang dibangunkan. Malah dikatakan juga varian 911 elektrik sepenuhnya turut akan dihasilkan pada masa akan datang.
Jaguar
Jaguar sudahpun mempunyai model EV mereka di pasaran iaitu Jaguar i-Pace. Ia merupakan satu-satunya pencabar Model X Tesla dan sama seperti Model X ia tidaklah murah. Tapi apa yang pelik sangat, mana ada Jaguar murah kan? Malah Jaguar juga akan menjadikan model XJ sedan mereka sebagai model EV. Kalau benar ia memang akan mencabar Model S Tesla secara berdepan.