Buletin

NISSAN SYLPHY ZERO EMISION – SEDAN EV UNTUK CHINA SAHAJA, RM97,800 SEUNIT

Nissan dilapor telah memulakan produksi sedan elektrik pertamanya yang direka khas untuk pasaran China.

Sedan itu dibangunkan daripada model Sylphy berasaskan teknologi LEAF hasil kerjasama dengan rakannya, Dongfeng Motor Group. Dikenali sebagai Sylphy Zero Emission, ia mampu bergerak sejauh 338km dengan sekali caj.

Sylphy Zero Emission akan ditawarkan pada harga 166,000 yuan (RM97,800) selepas menerima subsidi daripada kerajaan. Harga itu adalah separuh daripada Leaf dan jenama kolaborasi Nissan dan Dongfeng, Venucia.

“Kami yakin Sylphy Zero Emission yang memulakan produksi pada hari ini akan menjadi pemain utama dalam pasaran EV. Kami juga akan menghasilkan satu rangkaian model EV yang mampu menarik minat pelanggan dalam semua segmen,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Hiroto Saikawa.

Pengeluar kenderaan lain seperti General Motors dan Volkswagen dikatakan sedang merancang untuk melancarkan sedan, minivan dan SUV elektrik ke pasaran China pada tahun ini. Semua kenderaan itu akan direka mengikut citarasa dan bajet pengguna di negara tersebut.

Langkah itu dibuat berikutan padaran EV di China sekarang didominasi oleh EV kos rendah yang dihasilkan oleh pengeluar tempatan seperti BYD Auto Co. Buktinya, separuh pertama tahun ini menyaksikan BYD mencatat jualan 71,000 unit EV, naik sekali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Perkembangan tersebut turut disumbang oleh pendekatan kerajaan yang melihat EV sebagai salah satu cara untuk mengurangkan masalah jerebu di bandar-bandar besar.

Kuota jualan yang dikenakan oleh pemerintah China mulai tahun depan juga memerlukan semua jenama menjual kereta elektrik atau membeli kredit daripada pesaing mereka. Ini sekali gus memberi tekanan kepada pengeluar untuk menghasilkan EV lebih mampu milik.

“Secara asasnya, sebelum ini semua pengeluar kereta hanya ingin menguji pasaran. Namun, keadaan akan berubah menjelang akhir tahun ini. Kita dapat lihat pasaran akan jadi lebih kompetitif dan pelanggan mempunyai banyak pilihan,” kata seorang penganalisis dari firma Automotive Foresight, Yale Zhang.

Google ads
Back to top button