Buletin

53,000 PELAJAR IPT PULANG 27 APRIL. JALANI SARINGAN GEJALA. AGENSI KERAJAAN HANTAR TERUS KE RUMAH

Semalam, Perdana Menteri, Tan sri Muhyiddin Yassin ada mengumumkan bahawa kerajaan kini sedang merangka pelan untuk membolehkan para pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi, termasuk politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. 

Menurut Muhyiddin, perancangan rapi perlu dibuat bagi mengelakkan kesesakan yang tidak diiingini, sama ada di dalam kenderaan awam atau perhentian. Sekali gus membuat usaha penjarakan awam jadi mustahil, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan wabak COVID-19. 

Sebentar tadi, Menteri Keselamatan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya memperincikan mengenai perkara tersebut.

Menurut Beliau, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. 

“Mesyuarat telah bertuju pergerakan pulang pelajar bermula 27 April (Isnin depan). Waktu perjalanan dihadkan bermula 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar pada waktu siang. Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, melibatkan zon hijau sahaja. 

“Walaupun pelajar ini bebas daripada COVID-19 kerana sudah berada di kampus selama lebih sebulan, namun mereka yang ingin pulang perlu menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas. Mereka juga akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka,” jelas Ismail Sabri. 

Pelajar yang menggunakan bas akan dihadkan kepada 20 orang sahaja. Mereka akan diambil dari kampus dan dibawa ke destinasi, seterusnya ke balai polis atau pejabat daerah.

Dari sana, pelajar akan dihantar ke rumah oleh agensi-agensi kerajaan termasuklah frontliners. Jadi, pelajar tidak ada ruang untuk pergi merayau ke tempat lain. 

Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan pulang tetapi tidak boleh merentas negeri. Satu kenderaan, seorang sahaja. Mereka juga perlu mendapatkan kelulusan daripada balai polis berhampiran.  

Pelajar yang ingin pulang ke Sabah atau Sarawak pula, penerbangan akan diselia. Seperti yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, mana-mana penumpang yang datang dari luar akan dikuarantin wajib selama 14 hari. Kecuali kerajaan negeri menukar SOP berkenaan. 

Proses penghantaran ini melibatkan 85 peratus iaitu sekitar 53,000 orang pelajar. Bukan semua mahu balik, ada yang ingin terus tinggal di kampus untuk belajar dan bersiap-sedia menghadapi peperiksaan.

Mungkin juga sekarang belajar secara online, tetapi di kampung tiada kemudahan internet. 

“Bagi pelajar yang tinggal di kampus, kerajaan akan menanggung mereka seperti biasa,” jelasnya. 

Semua langkah ini adalah untuk pelajar pusat pengajian tinggi adalah yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sahaja.

Bagi pelajar yang berada di bawah kementerian lain, kerajaan memberi kebenaran kepada kementerian terbabit untuk menguruskan proses bawa pulang pelajar masing-masing, menggunakan SOP KPT. 

– kredit foto: FB BTCC

Google ads
Back to top button