Motosikal

JURURAWAT DITAHAN POLIS, PECUT ZX6R 250KM/J ATAS JAMBATAN PULAU PINANG

Seorang jururawat lelaki berusia 28 tahun ditahan polis di rumahnya dekat Flat Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang semalam kerana didapati menunggang motosikal berkuasa tinggi secara melulu.

Tindakan lelaki itu dikesan selepas dia memuat naik satu klip video ke media sosial beberapa hari lalu. Video itu menunjukkan dia memecut di atas Jambatan Pulau Pinang dalam masa hanya dua minit 10 saat dengan kelajuan mencecah 250km/j. 

Dia yang menunggang sebuah Kawasaki Ninja ZX6R juga dapati mencilok beberapa buah kenderaan lain dalam kelajuan tinggi dan berbahaya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan penahanan lelaki terbabit kira-kira jam 5 petang semalam. Penahanan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai rakaman video berkenaan yang dipercayai dirakam pada jam 1.30 petang 17 April lalu.

Soffian memberitahu, jururawat hospital swasta itu sudah dibawa ke balai polis bagi siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Lelaki itu dibenarkan bagi diikat jamin dan kes akan dituduh di mahkamah pada 7 Mei depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam satu entri di Facebook, IPD Timur Laut Pulau Pinang menyatakan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.  

Google ads
Back to top button