Artikel Pilihan

6 TEKNOLOGI DAN INOVASI TERLAMPAU CANGGIH. TAPI KURANG PRAKTIKAL

Semenjak Daimler Benz dan Henry Ford mencipta kereta yang dipacu oleh enjin bagi menggantikan kereta kuda yang dibawa oleh kuda, banyak inovasi yang berlaku pada teknologi automtif. Tahukah anda perang dunia pertama juga menyebabkan kereta direka sebagai kenderaan tempur sehingga terciptanya kereta kebal pada hari ini.

Banyak inovasi yang dibuat oleh syarikat automotif bagi memastikan mereka mendahului pesaing mereka dalam pasaran. Ia bagi memastikan produk mereka nampak hebat dan pada masa yang sama memberikan faktor wow kepada para pengguna. Tapi tak semua inovasi tersebut berjaya dan sesetengah inovasi tersebut nampak terlalu rumit.

1. Pintu Gullwing

Kereta biasa menggunakan kaedah bukaan pintu di mana ia perlu dibuka vertikal. Namun sesetengah pengeluar kereta super mereka cara bukaan pintu yang lebih kompleks seperti bukaan gunting dan juga bukaan pintu ke atas yang dinamakan Gullwing door.

Gullwing ini merupakan satu spesis burung yang memberi inspirasi kepada jurureka bentuk agar apabila pintu dibuka, kereta seolah -olah memiliki sayap dan kelihatan sedang terbang. Nampak hebat kan. Namun isu seperti ujian perlanggaran menjadikan kosnya tinggi dan menjadi isu kepada pengguna jika kereta diparkir di tempat sempit

Bayangkan anda perlu parkir di ruang bawah tanah yang sempit, macam tak masuk akal nak buka pintu macam ni.

2. Enjin Turbin

Tidak sama seperti enjin pembakaran dalam, enjin turbin menggunakan konsep udara dan bahan api dibakar bagi menghasilkan gas yang bergerak pada halaju tinggi (jet stream) yang seterusnya akan menghasilkan daya tujahan ke depan. Ia biasa digunakan pada aplikasi penerbangan seperti yang digunakan pada kapal terbang dan helikopter

Wow macam kereta Batman kan. Tapi isu yang berkait rapat dengan enjin turbin ialah ia mahal untuk dibuat disebabkan ia terlalu kompleks, kos penggunaan petrol yang tinggi mengalahkan enjin Wenkel rotari, dan respon enjin selepas pedal minyak ditekan adalah lambat. Chrysler menghentikan pembangunan enjin ini selepas mendapati ia hanya sesuai di dalam cerita Batman sahaja.

3. Sistem Gantungan Elektromagnetik BOSE

Ya BOSE syarikat yang menghasilkan pembesar suara berkualiti bagi kereta jenama premium mendapat idea untuk mengeluarkan sistem gantungan mereka berdasarkan magnet neodymium. Sistem ini akan memastikan sprung mass seperti cesi akan kekal tegak tanpa gangguan ketika melalui jalan tidak rata.

Namun ia memerlukan mereka memasang komponen tambahan yang berat, dan berat akan mempengaruhi prestasi kereta. Komponen tambahan ini menjadikan kos pembelian kereta semakin mahal dan ia tidak sesuai untuk digunakan pada kereta biasa. Ini belum lagi difikirkan kos penggantian sistem jika berlaku kerosakan.

4. Kereta Terbang

Ya anda telah mendengar dan membaca beberapa kali kami membuat lawak pasal teknologi ini. Bukan kami tidak patriotik ataupun tidak cukup visi berkenaan masa depan tapi kita bercakap berkenaan fakta. Kereta ataupun automotif merupakan 2 perkataan iaitu motif (bergerak) dan auto (tanpa bantuan luar). Ia memerlukan enjin pembakaran dalam atau janakuasa elektrik untuk berfungsi

Untuk memastikan ia terbang ia perlu memiliki sayap dan berfungsi secara aerodinamik untuk mewujudkan daya angkat (lift force). Bukannya pakai kipas abe. Jadi untuk kereta terbang ia mesti ada sayap. Sayap tersebut boleh disimpan atau dilipat jika tidak digunakan atau ketika kereta dipandu di lebuh raya. Perkara terakhir yang kita hendak lihat ialah sayap tersebut menebas kepala penunggang motosikal

Sebaik sahaja kereta mulai terbang, ia memsti memiliki sistem penujah yang boleh dihasilkan oleh kipas. Atau sistem enjin turbin yang akan menghasilkan kuasa jet untuk tujahan ke depan. Satu cesi, 2 enjin yang berbeza, atau perlukan kipas, dengan sayap yang boleh dilipat. Pernahkah anda terbanyang betapa kompleksnya kejuruteraan yang terlibat?

Bila menjadi terlampau kompleks, harganya akan menjadi tidak masuk akal. Baik beli Saga, Bezza ataupun Axia saja. Malah pemandu pula mesti ada 2 lesen iaitu lesen memandu dan lesen juruterbang. Kos untuk lesen juruterbang bukan murah tuan-tuan. Anda pasti tidak mahu kereta ini terhempas atas rumah pada waktu malam akibat pemandu yang tidak kompeten jika mereka terkejut sewaktu berselisih dengan penanggal.

5. Enjin Wenkel Rotari

Kami telah menulis beberapa siri artikel berkenaan enjin rotari di SINI. Ya walaupun ini lebih ringkas dan boleh menghasilkan kuasa dalam kitaran enjin yang lebih pendek berbenading dengan enjin piston, kita kena terima hakikat bahawa Mazda RX-8 yang menggunakan enjin rotari sudah lama dihentikan pengeluaran.

Hanya Mazda sahaja yang yang mengeluarkan enjin secara komersial dan terus akan membangunkan enjin INI bagi kegunaan kereta elektrik pada masa hadapan. Antara isu yang dialami oleh enjin ini masalah Apex seal, menggunakan minyak enjin bagi tujuan kedapan enjin serta masalah suhu panas pada satu kawasan yang menyebabkan Apex seal tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun faktor utama Mazda menghentikan sementara waktu pengeluaran enjin ini ialah kegagalan mereka untuk melepasi piawaian tahap pencemaran udara yang semakin ketat.

6. Fuel Cell / Sel Bahan Api

Untuk lebih jelas saya ajarkan sikit formula kimia. 2 Molekul Hidrogen bergabung dengan satu molekul Oksigen, hasilnya ialah air dan cas elektrik. Proses ini akan disintesiskan dalam sel membran. Jadi hasil buangan teknologi ialah air tulen. Boleh siram pokok durian. Tak ada masalah. Beberapa tahun lepas teknologi ini hangat diperkatakan.

Malah ia lebih popular berbanding dengan kereta elektrik. Sehinggalah Elon Musk memerli teknologi ini sebagai fool cell dan mempopularkan teknologi bateri. Dalam enjin ini, kereta perlu membawa bekalan gas hidrogen sebagai bahan bakap dalam bentuk cecair. Gas ini akan disimpan dalam bekas tekanan tinggi.

Namun kalau berlaku kebocoran, anda boleh bayangkan berlakunya letupan seperti yang berlaku pada kapal angkasa Challenger pada tahun 1986. Dan itulah kesangsian orang ramai terhadap teknologi ini. Namun ia tidak menghalang Toyota dan Hond memasarkan teknologi ini di Amerika. Namun kekurangan prasarana pembekalan gas hidrogen menjadikan perkembangan teknologi ini tersekat pada skala 8 (eh iklan syampu)

Ya ia berjaya dijual, namun pasarannya terhad. Mungkin negara kita perlukan lebih masa untuk mewujudkan fasiliti

Google ads
Back to top button