Artikel Pilihan

KEMATIAN ENJIN ROTARI YANG TRAGIS

Sebulan yang lepas penulis telah mengulas berkenaan prinsip asas operasi enjin Rotari Wankel, kelebihan rekabentuk, komponen dan bagaimana ia berfungsi. Dalam artikel kali ini penulis akan membincangkan secara mendalam kelemahan enjin rotari yang menyebabkan ia tidak lagi relevan dengan piawaian pencemaran alam sekitar masa kini. Kali terakhir Mazda menghasilkan RX-8 ialah pada tahun 2012 dengan menggunakan enjin 1300cc Renesis.

Pada tahun 2010, enjin ini gagal mematuhi kawalan pencemaran udara di Eropah membuatkan Mazda mengambil keputusan menghentikan pengeluaran model ini pada tahun 2011. Anda boleh baca berkenaan enjin Rotari di SINI.

Kecekapan Haba yang Rendah

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, rekaan kebuk pembakaran enjin rotari mempunyai kecekapan haba yang rendah disebabkan oleh nisbah mampatan yang rendah (sekitar 8.7:1). Rekaan kebuk pembakaran enjin ini sendiri gagal menghasilkan pembakaran yang ideal berlaku walaupun ia dipasang dengan 2 palam pencucuh. Berbanding dengan enjin piston yang memiliki kebuk pembakaran dalam bentuk silinder, kebuk pembakaran enjin rotari berbentuk bulan sabit.

Sebaik sahaja palam pencucuh kedua dinyalakan, rotor akan bergerak menjauhi palam pencucuh menghasilkan kebuk pembakaran berbentuk bulan sabit. Ia gagal menyalakan bahan api secara serentak tetapi nyalaan api berkembang dan  menjauhi palam pencucuh dan tork yang dihasilkan agak lemah. Sebaik sahaja ia sampai ke lubang ekzos, campuran udara dan petrol yang tidak terbakar tadi akan ditolak keluar bersama dengan asap.

Kesan sampingannya sangat menarik kerana udara dan petrol yang tidak terbakar tadi akan terbakar dan meletup di dalam ekzos menghasilkan nyalaan api. Udara dan petrol yang tidak terbakar tadi menyebabkan kecekapan enjin berkurang

Rekaan Seal

Enjin juga beroperasi dengan prinsip asas separa vakum. Tekanan udara rendah yang dihasilkan oleh enjin diperlukan untuk proses ambilan udara dan juga petrol semasa proses lejang kemasukan. Tekanan udara rendah ini dibantu oleh seal enjin yang dipasang pada rotor iaitu Apex Seal, Face Seal dan Side Seal yang berfungsi agar ketiga-tiga kebuk pembakaran enjin rotari mampu mengekang campuran udara dan petrol.

Berbanding dengan enjin piston di mana lejang kemasukan, mampatan, kuasa dan ekzos berlaku di ruang yang sama proses kemasukan, mampatan, kuasa dan juga ekzsos berlaku di ruang yang berlainan. Oleh yang demikian, ruang di mana proses pembakaran berlaku dipengaruhi oleh haba dan suhu yang tinggi. Suhu ini akan menyebabkan rotor dan perumah mengalami pengembangan haba.

Secara tidak langsung ketiga-tiga seal, rotor dan perumah rotor akan mengembang pada kadar yang berbeza disebabkan oleh ketiga-tiga komponen dihasilkan dari bahan yang berbeza. Maka tidak hairanlah terdapat kebocoran pada seal seterusnya akan mengurangkan kecekapan mekanikal enjin.

Ia membakar minyak enjin

Bagi membantu seal beroperasi dengan baik maka enjin rotari terpaksa menggunakan minyak enjin yang akan disalirkan masuk ke dalam kebuk pembakaran semasa operasi enjin. Minyak enjin ini akan membantu seal namun akan dibakar semasa proses pembakaran dan dibebaskan melalui ekzos seterusnya menghasilkan pencemaran hidrokarbon.

Sudahlah enjin ini membebaskan campuran udara dan petrol melalui ekzos, malah ia akan membebaskan minyak enjin yang separa terbakar pula melalui ekzos. Adalah penting untuk pengguna memastikan minyak enjin sentiasa ditambah ke dalam sistem. Minyak enjin ini sebenarnya disalirkan pada rotor dan kebuk pembakaran melalui pam minyak pelincir bagi memastikan enjin mendapat bekalan minyak yang cukup

Operasi pam ini diselaraskan dengan throttle dimana semakin kuat pedal ditekan, pam minyak akan menghantar minyak enjin yang secukupnya dalam kebuk pembakaran bagi memastikan seal beroperasi dengan sempurna. Malah rekaan pam minyak ini juga membenarkan minyak enjin disembur pada intake manifold supaya minyak enjin bercampur dengan udara dan petrol ketika proses kemasukan berlaku.

Dalam keadaan ini ia akan menyebabkan kecekapan volume enjin akan berkurang dimana isipada udara terpaksa dikongsi dengan petrol dan juga minyak enjin.

Kecekapan Bahan Api yang Teruk

Sebagai rujukan, Mazda RX 8 dengan enjin berkapasiti 1300cc menghasilkan sekitar 232 kuasa kuda dengan berat anggaran 1390kg. Secara purata ia penggunaan petrol bagi kereta ini ialah sekitar 6.8km per liter petrol bagi pemanduan di bandar dan 9.35km per liter bagi laluan lebuh raya. Sebagai perbandingan Mercedes Benz GLA45 dengan enjin bersesaran 2000cc turbo menghasilkan sekitar 355 kuasa kuda dengan berat cesi sekitar 1568kg.

GLA 45 mampu dipandu sejauh 9.77km per liter petrol bagi laluan bandar dan 12.32km per liter petrol bagi pemanduan lebuh raya. GLA 45 adalah jauh lebih berat dan berkuasa berbanding dengan Mazda RX 8 namun penggunaan bahan api adalah lebih baik berbanding dengan RX8.

Kecekapan enjin yang rendah, masalah rekaan seal enjin, pembakaran minyak enjin ketika operasi, kecekapan bahan api yang teruk dan juga kegagalan operasi enjin untuk mengawal pencemaran menyebabkan enjin ini gagal untuk bersaing dengan enjin rekaan piston yang masih lagi kekal relevan sampai sekarang.

Google ads
Back to top button