Buletin

60 TAHUN TOYOTA DI AMERIKA SYARIKAT & INI MODEL-MODEL PENTING MEREKA

Sekarang ini Toyota berada di liga atas syarikat automotif dunia dan bersaing hebat dengan Kumpulan Volkswagen. Pencapaian itu bukanlah mudah dan tidak terus senang seperti yang dinikmati sekarang.

Bangkit selepas perang, bangunkan semula industri dan mahu ke luar negara. Apabila Toyota melancarkan ibu pejabatnya di Amerika Utara di Hollywood, California pada 31 Oktober 1957, ia adalah satu perkara yang menakutkan.

60 tahun lalu untuk sebuah syarikat kereta Jepun memasuki ke pasaran A.S. adalah satu langkah berani. Model pertama iaitu Toyopet Crown tidak mendapat sambutan sangat pun. Sukar juga hendak meniaga di tempat asing dengan jenama baru apatah lagi dari Asia.

Tetapi itu tidak bermakna Toyota harus berhenti dan berputus asa. Bermula dari pejabat seluas tiga ribu kaki persegi, Toyota kini sudah menjadi dan diiktiraf sebagai syarikat yang berjaya bukan sahaja di A.S tetapi di dunia.

Toyota HQ 1957. (c) Toyota

Dalam tempoh 60 tahun, Toyota kini mempunyai kehadiran di setiap negeri, termasuk 10 kemudahan perkilangan (14 di Amerika Utara), hampir 1,500 Toyota dan pengedar Lexus dengan 136,000 pekerja langsung, pengedar dan pembekal A.S.

Baru-baru ini Toyota telah menyatukan pelbagai operasi seperti kejuruteraan kualiti, penjualan, pemasaran, perkhidmatan kewangan dan bahagian korporatnya ke kampus ibu pejabat Amerika Utara baharu di Plano, Texas.

Dan berikut ialah senarai model-model penting Toyota di A.S:

Tahun 50 an dan 60 an – Tempoh ini penting buat Toyota. Model pertama yang memasuki pasaran A.S ialah Toyopet Crown dan jip Land Cruiser. Tahun 60 an, Corolla diperkenalkan yang berjaya melonjakkan jenama Toyota dan merupakan model paling laris di dunia.

Toyota Corolla 1969. (c) Toyota

Tahun 70 dan 80 an – Tempoh ini adalah era kenderaan sporty. Toyota memperkenalkan dua model ikonik iaitu Celica dan Supra. Pada tahun 80 an, Toyota melancarkan Camry dan 4Runner.

Pada tahun 1989, Toyota telah melancarkan satu lagi projek hebat iaitu divisyen kenderaan mewah iaitu Lexus. Dua model diperkenalkan iaitu LS 400 dan ES 250 bagi mencabar jenama premium seperti Mercedes-Benz dan BMW.

Toyota LS400 1990. (c) Toyota

Tahun 90 an – Toyota mula mempelbagaikan tawaran dengan melancarkan Tacoma, RAV4, Avalon dan Sienna. Lexus pula melancarkan GS, LX dan RX.  

Era Milenium – Pada tahun 2000, Toyota melancarkan satu model penting dalam teknologi automotif untuk pasaran massa iaitu Prius hibrid. Model ini telah mengubah landskap pasaran hibrid dunia dan diikuti oleh beberapa lagi jenama pesaing selepas itu. 

Toyota Prius 2004. (c) Toyota

Tahun 2003  – Selepas melancarkan Lexus, Toyota melancarkan satu lagi jenama baharu iaitu Scion. Jenama ini disasarkan kepada pelanggan muda dengan produk-produk dengan ciri dan reka bentuk tersendiri. Hasilnya ialah model xB telah menjadi ikon kepada generasi milenium.

Era 2010 sehingga kini – Toyota berjaya mengekalkan legasi dan meneruskan momentum sebagai pengeluar kenderaan terkemuka dunia. Lebih sedekad selepas pelancaran Prius, Toyota sekali melancarkan satu lagi kenderaan berteknologi tinggi iaitu Mirai yang dikuasakan oleh teknologi hidrogen dan bateri atau kenderaan hydrogen fuel cell. 

Toyota TRI 2017. (c) Toyota

Masa sekarang akan datang – Dalam tempoh ini Toyota di A.S telah berubah dari hanya sebuah syarikat jualan kepada sebuah syarikat mobiliti. Pada tahun 2016, Institut Penyelidikan Toyota dilancarkan bagi meneroka teknologi canggih seperti kenderaan autonomi, robotik, keselamatan kenderaan dan sains material.

Pada tahun yang sama juga, teknologi Toyota Connected telah dibangunkan bagi menggunakan data untuk memberikan pengalaman memandu yang lebih bersifat personal.

Daripada sebuah syarikat kecil di California 60 tahun lalu, Toyota telah menyumbang begitu banyak kepada warga AS dengan menawarkan peluang pekerjaan, mobiliti dan juga teknologi. Suatu yang penting apabila, teknologi ini turut dirasai oleh masyarakat global.

Google ads
Back to top button