Artikel Pilihan

6 KELEBIHAN KERETA SEDAN BERBANDING DENGAN SUV.

Abam Japar, Abam Beras dan Syuk dah lama guna SUV manakala hanya penulis sahaja yang masih setia menggunakan kereta sedan 4 pintu. Pada tahun 2021, sebanyak 43% dari jumlah kenderaan yang terjual adalah SUV berbanding dengan kenderaan lain. Malah jika dibandingkan dengan tahun 2020, jualan segmen sedan sebenarnya menurun sebanyak 19% pada tahun 2021

Kalau kita ambil pemerhatian mudah, kita akan dapati lebih ramai jiran kita membeli Perodua Ativa, Proton X50, Perodua Aruz dan Proton X70 berbanding dengan sedan dalam julat harga yang sama. Tapi bergantung pada cara memandu dan gaya hidup, sedan sebenarnya masih ada beberapa kelebihan berbanding dengan SUV seperti:

1. Purata penggunaan bahan api yang lebih baik – sebagai contoh kita bandingkan sebuah sedan dan sebuah lagi crossover yang dibina dengan menggunakan cesi sama seperti Honda City dan Honda HRV. Honda City menggunakan enjin 1500cc manakala Honda HRV pula menggunakan enjin 1800cc. Secara tidak langsung enjin bersaiz kecil menawarkan penggunaan bahan api yang lebih baik

Dari segi rekaan, sedan direka lebih rendah berbanding dengan crossover. Kedudukan yang rendah pada sedan memberikan kelebihan aerodinamik yang lebih bagus sekaligus memberikan purata bacaan penggunaan bahan api yang lebih bagus berbanding dengan crossover/SUV.

2. Dinamik pemanduan sedan lebih bagus – SUV/crossover direka dengan jarak kelegaan bumi yang lebih tinggi berbanding dengan sedan. Rekaan sebegini memberikan kelebihan pada crossover untuk dipandu di atas permukaan jalan yang tidak rata dan lasak. Tapi sebenarnya beberapa kali setahun anda memandu di permukaan jalan tidak rata?

Pada kebanyakan masa kita akan memandu di atas permukaan jalan yang berturap (dan bertampal-tampal) dan memberikan kelebihan pada sedan terutama ketika selekoh. Disebabkan sedan lebih rendah, pusat graviti kereta sedan juga lebih rendah dan kurang beroleng ketika melalui selekoh. Pemandu berasa lebih yakin di selekoh dan penumpang akan rasa lebih selesa dan tidak mudah pening.

3. Pecutan lebih baik – kebanyakan crossover akan dibina dengan menggunakan komponen yang sama dari pembinaan kereta sedan. Sebagai contoh Toyota Rush menggunakan enjin 1500cc dengan kod yang hampir sama dengan enjin Vios (berbeza kod) bagi memaksimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan kos pembuatan.

Dengan berat sedan yang lebih ringan dan enjin yang sama, Vios mampu memberikan pecutan yang lebih pantas dan meyakinkan terutama ketika memotong lori di laluan mendaki bukit berbanding dengan Rush. Eh bagaimana pula dengan Honda CR-V (crossover) yang datang dengan enjin yang lebih berkuasa daripada Honda Civic (sedan)?

Walaupun Honda CR-V datang dengan enjin 1500cc turbo menjana 190 kuasa kuda berbanding dengan Civic 2016 171 kuasa kuda, CR-V lebih berat dengan 233kg menjadikan “power to weight ratio” Civic adalah lebih baik berbanding dengan CR-V.

4. Sedan lebih selamat – kenyataan ini nampak sangat kontroversi kerana dari segi aspek penilaian kemalangan, mungkin kedua-dua sedan dan crossover mendapat skor 5 bintang yang sama. Tapi crossover adalah leboh tinggi dan pusat graviti yang tinggi mendedahkan crossover kepada masalah rollover atau jatuh berguling-guling

Contohnya BMW 3 Series memiliki risiko rollover sebanyak 9.2% sahaja, namun risiko ini meningkat kepada 17.2% untuk model crossover X3. Crossover juga lebih berat berbanding dengan sedan menjadikannya lebih bahaya kepada pengguna jalan raya lain seperti kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal

5. Keselamatan kargo – dengan rekaan 3 kotak, sedan menawarkan ruang kargo yang lebih besar berbanding dengan crossover. Namun crossover ada kelebihan dari segi keupyaan membawa barangan lebih besar dan bukaan pintu kargo yang lebih besar. Dari segi keselamatan barangan yang dibawa, sedan memiliki pintu berkunci dan terasing daripada ruang penumpang

Ini bermakna pencuri tidak akan nampak barangan berharga yang disimpan di ruang kargo berbanding dengan crossover yang lebih terdedah melalui penggunaan cermin sisi dan cermin belakang. Di Amerika statistik menunjukkan crossover mudah terdedah kepada jenayah pecah kenderaan berbanding dengan sedan.

6. Sedan lebih murah – ya untuk golongan yang sangat berkira-kira dengan duit seperti penulis (baca bukan kedekut) sedan dijual pada harga yang lebih murah berbanding dengan crossover/SUV. Sebagai contoh Toyota Camry dijual pada harga RM 188 ribu seunit manakala crossover yang dibina dengan cesi yang sama seperti RAV-4 dijual pada harga RM 215 ribu.

Ya atas beberapa sebab ini termasuklah laluan balik kampung akan melalui jalan berbukit dan berliku, maka penulis berpendapat sedan adalah lebih sesuai dengan gaya hidup dan cara pemanduan. Penulis sendiri kurang berminat dengan aktiviti lasak seperti berkhemah menjadikan sedan merupakan kenderaan yang lebih ideal.

Google ads
Back to top button