
FERRARI 430 TERBAKAR DI BKE, PEMANDU BERJAYA SELAMATKAN DIRI
Jentera Ferrari model 430 terbakar dalam kejadian di susur keluar Permatang Pauh dekat Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Rabu lalu.
Kebakaran memusnahkan sehingga 80 peratus jentera itu berlaku pada pukul 2 petang tetapi pemandu berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Penanti bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.08 petang.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela (PBS) Sungai Puyu yang tiba awal di lokasi kejadian sudah memadamkan kebakaran terbabit.
“Manakala anggota kita dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Operasi tamat sekitar 2.59 petang dan punca kejadian serta kerugian sebenar masih dalam siasatan. – awani