Buletin

750 KONTENA JATUH KE LAUTAN PASIFIK. KERUGIAN DIANGGAR JUTAAN DOLAR

Sebuah kapal kargo yang dikendalikan oleh A.P. Moller-Maersk A/S kehilangan ratusan kontena di lautan Pasifik ketika melalui laut bergelora sewaktu perjalanan  dari China menuju ke Los Angeles.

Kapal Maersk Essen yang memiliki kapasiti untuk membawa lebih 13,000 kontena itu melaporkan sebanyak 750 kontena telah jatuh ke laut pada 16 Januari lalu.

Semua krew kapal bagaimanapun selamat dan penilaian terperinci kargo yang terlibat sedang dibuat, ketika kapal berkenaan menerusikan perjalanannya.  

Kontena-kontena tersebut mengandungi barangan bernilai berjuta-juta dolar.

A.P. Moller-Maersk yang berpangkalan di Copenhagen memberitahu kapal tersebut akan berlabuh di APM Terminals Lazaro Cardenas, Mexico bagi tujuan pemeriksaan dan pembaikan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sejumlah besar kontena jatuh ke dalam laut. Kapal konten One Apus milik Ocean Network Express yang beribu pejabat di Singapura sebelum ini kehilangan kira-kira 2,000 kontena apabila ia dibadai ribut di Hawaii ketika dalam perjalanan ke Long Beach California dan Yantian, China.

Menurut anggaran Majlis Perkapalan Dunia, purata 1,382 kontena jatuh ke alaut setiap tahun di antara 2008 hingga 2019.

Pasukan jurutera yang terlibat dalam siasatan kontena tersebut menyatakan insiden itu berlaku kerana sebab biasa seperti kegagalan sistem ikatan di antara kontena. Memandangkan kapal semakin besar dan kontena disusun setinggi bangunan bertingkat, kestabilan kapal sememangnya terjejas.

“Ia dipanggil olengan parametrik dan boleh berlaku apabila ombak mengenai sudut-sudut tertentu pada kapal,” kata arkitek perkapalan, Fotis Pagoulatos.

Google ads
Back to top button