Motosikal

RASMI: TRIUMPH SPEED 400, SCRAMBLER 400 X AKHIRNYA DI MALAYSIA – DARI RM26,900

Triumph Motorcycles Malaysia dengan rasminya melancarkan Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X untuk pasaran tempatan.

Motosikal hasil kerjasama dengan gergasi India, Bajaj Auto itu akhirnya diperkenalkan di Malaysia hampir setahun selepas diperkenalkan di pasaran global. 

Untuk rekod, enjin T-Series pada Triumph Speed 400 ini merupakan platform satu silinder 398cc dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 39.5hp pada 8,000rpm dan 37Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut pula dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan. 

Triumph Speed 400 ini juga menampilkan casis serba baharu yang merangkumi kerangka jenis perimeter yang dibangunkan daripada tiub keluli serta ‘subframe’ jenis ‘bolt-in’. Pakej suspensi pula terdiri daripada fork USD 43mm dengan jarak pergerakan 140mm. Bahagian belakang pula menempatkan monoshock dengan fungsi ‘preload’ boleh laras. 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek 4-pot depan dengan cakera brek 300mm dan kaliper brek 1-pot belakang dengan cakera brek 230mm. ABS juga didatangkan secara standard termasuk hos brek jenis ‘steel-braided’. 

Selain itu, Triumph Speed 400 ini juga dilengkapi rim 17-inci yang dipadankan bersama tayar Metzeler Sportec M9RR secara standard. Meskipun bersesaran 400cc namun motosikal ini menawarkan tangki 13L sekaligus menjaminkan penggunaan bahan api yang cekap. 

Menariknya, Triumph turut menambah beberapa fungsi berteknologi tinggi pada varian Speed 400 ini yang termasuk sistem ‘ride-by-wire’, traction control (boleh padam) serta klac jenis ‘torque-assist’. Juga disertakan panel meter digital LCD dan port USB. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • immobilizer
  • lampu LED penuh
  • steering lock
  • cip transponder

Dalam perkembangan sama, Triumph Motorcycles Malaysia turut meraikan 10 pemilik pertama Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X di Ace Cafe pada Jumaat. Mereka turut berpeluang menunggang motosikal baharu mereka sekitar Kuala Lumpur bersama pengamal media.

Sementara itu, Ace Cafe menjadi lokasi ‘pop-up store’ bagi Triumph Motorcycles Malaysia mempamerkan tawaran terbaru, Speed 400 dan Scrambler 400 X dari 26 hingga 28 April ini. Tujuan utama adalah membolehkan peminat dua roda melihat dan merasai sendiri kemampuan dua model baharu itu.

Google ads
"
"
Back to top button