,
Pandu Uji

8 ASPEK PENILAIAN MEKANIKA DALAM PANDU UJI KERETA

Apakah ciri-ciri yang ada pada kereta terbaik? Adakah ia mesti lebih laju dari Myvi? Adakah ia mesti sangat senyap seperti studio rakaman? Adakah spring dan saksobar mesti keras melantun-lantun seperti menaiki go-kart. kami terangkan bagaimana kami menilai sesebuah kenderaan pandu uji mengikut spesifikasi Mekanika.

1. Mesra pengguna – aspek ini boleh dinilai apabila penulis cuba membiasakan diri dengan rekaan dalaman kereta. Ia bermula dengan proses membuka pintu, menghidupkan enjin, penyaman udara, menyambungkan telefon dengan unit multimedia, menggunakan stering dan tombol gear.

Ketika ini kami cuba menilai adakah rekaan yang dibuat terlalu futuristik sehingga mengabaikan aspek prakikaliti. Maksudnya rekaan dibuat terlampau canggih semata-mata nak kelihatan hebat namun pada masa yang sama menyusahkan pengguna baru. Rekaan menarik tak salah namun pastikan ia senang diguna. Bayangkan jika anda perlu mengubah suhu penyaman udara anda perlu menggunakan unit kawalan sesentuh yang dibina bersama unit multimedia. Rumit kan

2. Ergonomik – ia merupakan satu cabang sains yang melibatkan kajian rekaan berkenaan susunan alatan, kedudukan cara kerja manusia, dan kedudukan tubuh badan manusia dalam satu aktiviti. Sebagai contoh kedudukan kami ketika memandu kadangkala melebihi 4 jam dengan kenderaan pandu uji. Ergonomik juga dipanggil bioteknologi ataupun faktor manusia

Apabila memandu selama 4 jam tanpa henti kami cuba mengesan beberapa perkara seperti sudut pedal minyak adakah sesuai atau menyebabkan lenguh, kedudukan tombol gear, rekaan kerusi adakah sesuai atau menyebabkan ketidak selesaan pada kaki, betis, pinggang dan bahu serta adakah ia mampu membantu kami kekal segar sepanjang pemanduan. Pandu uji tuan-puan di pusat jualan selama 5 minit mungkin tidak dapat mengesan perkara di atas

3. Dinamik kenderaan – dinamik bermaksud gerakan kereta ketika dipandu. Kami cuba mengesan pecutan kereta dengan input pedal minyak adakah selari atau tidak, prestasi brek adakah bagus atau lambat, input stering dengan tindak balas tayar adakah cepat atau lembap serta operasi sistem trenkuasa (enjin dan gearbox) adakah susunan ratio gear dibuat dengan tepat.

Seterusnya kami cuba memandu di jalan selekoh dengan seagresif yang boleh bagi mengesan prestasi kereta di selekoh, adakah ia membuai, adakah ia mengalami understeer, adakah kami berasa yakin untuk terus menekan pedal minyak dan juga prestasi pecutan kereta ketika keluar dari selekoh.

Jika aspek ini dapat membuatkan kami senyum lebar, maka kami tanpa segan silu akan menghuraikannya dengan lebih lanjut dalam artikel pandu uji

4. Penggunaan petrol/bahan api – setakat ini kami telah memandu uji kereta berkuasa petrol NA, petrol turbo, turbodisel dan juga hibrid. Semua kenderaan ini menggunakan bahan api untuk beroperasi, jadi kami akan memandu secara normal. Adakala kami memandu perlahan, memandu laju, tekan rapat pedal minyak untuk mendapatkan halaju maksima.

Kami akan dapatkan berapa jumlah bahan api yang telah digunakan dan berapa jarak perjalanan yang telah dibuat. Semua perjalanan dibuat dengan 3 atau 4 penumpang dan kadangkala melibatkan perjalanan pulang ke kampung. Ya sudah pasti ada kesesakan jalan raya. Jadi anda akan dapat data yang realistik daripada Mekanika

5. Keselesaan – dalam aspek ini kami cuba mendengar semua bunyi yang terhasil ketika kereta bergerak terutama sekali ketika kereta melalui permukaan jalan yang tidak rata. Bunyi enjin, transmisi, sistem penyerap hentak, bunyi tayar bergolek serta bunyi luar yang masuk ke dalam kereta akan cuba dikenalpasti samaada penebat bunyi dipasang dengan baik

6. Ciri-Ciri Unik- antara contoh ciri unik ialah Honda Civic boleh dihidupkan dengan butang kawalan jauh, X70 boleh menerima arahan suara, Volvo dengan lampu dinamik Thor, Mazda 6 2.2 Turbodisel dengan 440Nm tork, Volkswagen dengan enjin turbo dan gearbox DSG, Myvi dengan SmartTag terbina dalam dan apa sahaja ciri menarik yang tiada pada model lain. Kami akan cuba menguji ciri tersebut adakah ia seperti yang diiklankan

7. Keselamatan – trend keselamatan masa kini melihatkan penggunaan radar dalam kereta seperti unit ASA pada Perodua, Toyota Safety Sense, Honda Sensing dan ADAS bagi Proton merupakan satu sistem pintar yang menggabungkan beberapa siri sistem keselamatan dalam pakej. Kami akan cuba membuat provokasi pada sistem bagi melihat keberkesanannya, sama ada bagus, kurang peka ataupun terlampau mengongkong.

8. Rekaan – akhir sekali aspek rekabentuk luaran akan dinilai oleh kami. Tapi disebabkan rekaan ini bergantung pada mata manusia, kami cuba menilai aspek ini berdasarkan sambutan pembaca melalui laman sosial Mekanika (Facebook, Youtube dan juga Instagram). Adakah rekaan kereta tersebut dipuji atau dikeji. Jadi aspek ini agak subjektif untuk dinilai

Kami cuba menghasilkan satu laporan pandu uji yang tepat, jujur dan juga sebaik mungkin. Mungkin kadangkala laporan pandu uji kami menjadi agak panjang. Iye la, harga kereta bukan semurah RM 20 sekilo, jadi kami mahukan pembaca Mekanika mendapat maklumat terbaik sebelum membuat keputusan.

Tags
Google ads
Back to top button