Buletin

ACURA NSX TYPE S 2022 LEBIH POWER. TERHAD 350 UNIT, HARGA BERMULA RM717,000

Selepas beberapa teaser ‘mengusik’ penggemar automotif, Acura (Honda) secara rasminya memperkenalkan NSX Type S di Monterey Car Week, Amerika Syarikat (AS).

Model terbaharu sebagai tanda ucapan selamat tinggal itu terhad kepada 350 unit sahaja dan 300 unit diperuntukkan untuk pasaran AS.

NSX Type S dijual pada harga bermula AS$169,500 (RM717,917) manakala Lightweight didatangkan dengan tag harga AS$182,500 (RM772,978).

Ia dilengkapi gril hadapan lebih besar yang mampu meningkatkan proses penyejukan enjin.

Selain itu, spoiler belakang dan sil tepi diperbuat menggunakan gentian karbon mankala diffuser belakang jenis karbon adalah sama seperti kereta lumba NSX GT3.

Jentera baharu itu turut didatangkan bumbung diperbuat daripada karbon.

Bahagian kabin pula, ia hadir dengan balutan Alcantara pada bumbung, logo Type S dalam kotak simpanan papan pemuka dan sulaman logo NSX pada perehat kepala.

NSX Type S mendapat khidmat enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar dengan tiga unit motor elektrik yang mampu menjana kuasa 600hp dan 667Nm.

Berbanding model terdahulu, terdapat penambahan kuasa sebanyak  27hp dan tork 21.7Nm.

Pembaharuan kuasa pada kereta sport itu merupakan komponen turbo yang diambil dari kereta lumba NSX GT3 Evo, memberi tambahan 6 peratus tekanan boost. 

Ia turut dilengkapi komponen intercooler dan injektor bahan api baharu serta pek bateri menerima tambahan 20 peratus kapasiti sekali gus memberi output 10 peratus lebih tinggi berbanding NSX standard. 

NSX Type S menawarkan transmisi 9 kelajuan yang dinaik taraf untuk memastikan penukaran gear 50 peratus lebih pantas.

Jentera sport itu menawarkan rim lima jejari baharu dengan pilihan warna kelabu (Matte Shark Gray) atau hitam (Gloss Berlina Black) dan tayar Pirelli P-Zero.

Acura akan menghasilkan 70 unit Type-S dengan warna eksklusif iaitu kelabu (Gotham Gray). –carscooops/motor1

GALERI:

Google ads
Back to top button