Buletin

ACURA NSX TYPE R AKAN MUNCUL DENGAN 600 HP

Setelah 3 tahun NSX generasi kedua dilancarkan, ramai peminat berharap versi Type R akan menyusul. Khabar angin tentang model berprestasi tinggi NSX memang sudah lama berlegar sejak setahun dua ini tetapi masih belum ada kata putus dari pihak Honda (Acura). Tapi laporan terbaru daripada Forbes memberikan khabar gembira bila mereka melaporkan yang NSX Type R akan membuat penampilan pertama di Tokyo Motor Show Oktober ini dengan pelbagai ciri yang dinaiktaraf.

Forbes menyatakan yang NSX Type R ini akan mendapat suntikan 77 hp kuasa tambahan. Ini bermakna ia akan mempunyai 650 hp keseluruhan kuasa walaupun tidak diterangkan bagaimana kuasa tambahan tersebut bakal diperolehi. NSX standard menggunakan enjin 3.5-liter V6 twin turbo dan 3 motor elektrik.

Modifikasi lain termasuklah penggunaan komponen suspensi dan penstabil yang lebih teguh dan keras, brek seramik karbon yang lebih berkuasa dan penampilan luaran yang lebih aerodinamik. Ini termasuklah penggunaan spoiler belakang dan splitter hadapan ala jentera perlumbaan NSX-GT.

Apa yang belum dapat dipastikan ialah sama ada sistem SH-AWD NSX akan dikekalkan ataupun tidak. Jangkakan juga harga yang lebih premium untuk NSX Type R ini sebagaimana varian Type R lain. Ingat, ia bukan sekadar ditampal dengan stiker Type R yang dibeli di kedai runcit.

Kemunculan NSX Type R juga dijangkakan akan membantu pasaran NSX yang dilihat agak kelam ketika ini. Bayangkan mereka terpaksa memberi diskaun USD20,000 di AS untuk menarik minat bakal pembeli supaya memilih NSX. RM80,000 lebih tu daripada harga asal USD157,000 (RM657,202).    

Google ads
Back to top button