BuletinMotosikal

ADAM NORRODIN GANTI KHAIRUL IDHAM PAWI DALAM KELAS MOTO2

Pelumba muda berbakat, Adam Norrodin akan menyertai pasukan Petronas Sprinta Racing Moto2 bagi menggantikan Khairul Idham Pawi yang belum pulih dari kecederaan tangan akibat kemalangan.

Adam yang berusia 21 tahun yang kini bersaing dalam Kejohanan Eropah FIM CEV Moto2 untuk Pasukan Junior SIC, akan membuat penampilannya di Moto2 World Championship di Grand Prix San Marino (GP) minggu depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali berkata peluang yang diberikan kepada Adam adalah untuk membolehkannya diberi pendedahan dan berkembang pada masa depan.

“Salah satu tujuan kami adalah untuk menggalakkan dan memupuk bakat perlumbaan Malaysia, jadi dengan Khairul Idham masih belum pulih sepenuhnya, ia adalah situasi yang ideal untuk memberi Adam peluang untuk mencuba Moto2 di peringkat Kejohanan Dunia.

Adam Norrrodin sebenarnya bukanlah asing dengan pasukan ini di mana dia pernah berlumba untuk pasukan dari 2016 hingga 2018 dalam kelas Moto3.

Sementara itu, Adam berterima kasih kepada Razlan kerana masih mempercayainya dan mengakui bahawa peluang ini  adalah sesuatu yang baru untuk beliau pelajari.

“Ini merupakan satu bab baru dalam karier saya, terkilan bila Khairul Idham tidak dapat kembali ke perlumbaan, tetapi saya sangat gembira kerana diberi peluang ini.

“Ia ibarat mimpi jadi kenyataan untuk kembali ke Kejohanan Dunia ini, saya rindukan tekanan dan orang di sekeliling anda yang membolehkan anda tingkatkan prestasi setiap minggu di sana.”

“Jentera (Moto2)  ini sedikit berbeza daripada apa yang saya biasa tunggang tetapi saya tidak sabar untuk mencubanya dan tumpuan utama saya pada hujung minggu ini adalah untuk mencuba dan mempelajari teknik untuk mempersiapkan masa depan.

“Bagi saya, ini hebat peluang, tetapi saya juga berharap Khairul Idham pulih cepat dan kembali ke kejohanan untuk menunjukkan potensinya, “katanya.

Perlumbaan di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli bermula pada 13 September depan dan hari perlumbaan ialah pada Ahad, 15 September.

Google ads
Back to top button