PUSAT SERVIS BUGATTI TERBAIK DI DUNIA BERADA DI ZURICH – BILA LA NAK ADA KAT MENTAKAB
Sebagai bakal pemilik Bugatti (mana la tau kan kalau ada rezeki) sudah tentu kita mahu mekanik terbaik jika berlaku sebarang kerosakan ataupun bila tiba masa untuk servis. Takkan nak hantar bawah pokok, mana sesuai untuk leader MLM paling berjaya. Jangan bimbang sebab sekarang ada Bugatti Service Excellence Programme, jadi pemilik dan bakal pemilik macam kita tahu mana satu pusat servis terbaik untuk Bugatti.
Untuk tahun ini Bugatti Service Excellence Programme telah memberikan anugerah kepada pusat-pusat servis terbaik mereka di Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Asia. Daripada kesemua benua tadi hanya satu sahaja pusat servis dipilih sebagai juara pusat servis terbaik di dunia. Pergh, macam World Cup la pulak.
Pemenang untuk Amerika Utara ialah Bugatti Greenwich yang terletak di Connecticut. Gelaran terbaik Eropah disandang oleh Bugatti Zurich dan pemenang untuk Timur Tengah dan asia jatuh kepada Bugatti Singapura. Bugatti Zurich mendapat kemenangan berganda bila turut diumumkan sebagai pusat servis Bugatti terbaik di dunia.
Jadi kalau anda bermastautin di Eropah, sudah tentu Bugatti Zurich akan menjadi pilihan anda.
Persaingan amat sengit kerana sebagai sebahagian daripada keluarga Bugatti, mereka cukup teliti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan mereka. Ye lah ini kereta yang berharga jutaan RM. Bukan macam kereta kita kat sini. Nak masuk pusat servis pun kena kira bajet dulu.
Pemenang-pemenang menerima trofi istimewa dan sijil pengiktirafan daripada Bugatti. Mereka juga disajikan dengan jamuan makan malam khas disediakan oleh Bugatti. Nasi kerabu ada tak bang?