Buletin

AIRASIA SARAN KERAJAAN WUJUDKAN LALUAN HIJAU DAN PERJALANAN TERKAWAL KE DESTINASI SELAMAT

AirAsia menyarankan agar kerajaan membentuk serta membincangkan perjalanan terkawal dan laluan hijau dengan negara ekonomi utama yang mempunyai kadar jangkitan rendah, di sampung sistem pencegahan pandemik yang berkesan.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu turut menyatakan kesediaan untuk terbang ke destinasi yang dianggap selamat, sekali gus mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Saranan itu dibuat berikutan banyak negara di seluruh dunia mula membenarkan perjalanan domestik dan membuka kembali pintu masuk antarabangsa secara beransur-ansur sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Ia dilihat sebagai pengiktirafan bahawa pengangkutan udara adalah penting untuk menjana kembali aktiviti ekonomi.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), risiko jangkitan di dalam pesawat terbukti amat rendah. Justeru, perjalanan udara adalah salah satu kaedah perjalanan yang paling selamat.

Ini kerana pesawat dilengkapi dengan ciri-ciri untuk mengurangkan risiko jangkitan yang telah terbukti amat rendah dalam pesawat.

“Kedudukan penumpang yang menghadap ke hadapan tempat duduk berfungsi sebagai penghadang. Sementara udara di dalam kabin ditapis sepenuhnya dan diperbaharui setiap 2-3 minit melalui penapis HEPA bergred hospital demi memastikan udara sentiasa bersih,” jelas Airasia lagi.

Syarikat itu berkata peningkatan keselamatan-bio yang meliputi seluruh perjalanan penumpang akan dapat mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat.

Selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa kesihatan, AirAsia memaklumkan telah telah melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalanan. Di samping langkah-langkah keselamatan baharu serta kemudahan untuk mereka yang berisiko untuk memastikan keselamatan semua.

AirAsia juga menyokong usaha kerajaan membendung penyebaran COVID-19 dan menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa 10 Jun 2020 sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Astro Awani 

Google ads
Back to top button