Buletin

AKIO TAKEYAMA BAKAL BERAKSI DALAM S1K HUJUNG MINGGU INI

Wing Hin Motorsports, satu nama yang tidak asing lagi dalam perlumbaan di negara ini akan menyediakan dua buah Toyota Vios bagi perlumbaan Sepang 1,000 km (S1K) yang bakal berlangsung hujung minggu nanti. 

Ini termasuk kereta bernombor 39 dengan corak warna pasukan Toyota GAZOO Racing Malaysia dengan penampilan sulung Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang juga merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran TGR yang turut berlumba di dalam Vios Challenge.

Kereta-kereta berkenaan akan bersaing di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini di dalam kelas MTC bagi kereta produksi diubah suai berkapasiti bawah 1,600 cc menggunakan enjin talaan TRD dan casis Toyota Vios yang dibina di kemudahan Wing Hin di Balakong, Selangor.

Terkesan dengan prestasi membanggakan pasukan berkenaan dalam perlumbaan sama tahun lalu yang menyaksikan Toyota Vios yang dipandu oleh Boy Wong dan William Ho mencatatkan kedudukan podium, ketua Wing Hin Motorsports, Simon Loh sangat yakin jentera-jentera berkenaan akan memberi saingan sengit dalam acara tahun ini.

“Dengan data-data yang dikumpul tahun lalu, peralatan baharu yang kami peroleh hasil kerja sama dengan TRD serta pengalaman luas bekas pemandu pembangunan Toyota GAZOO Racing, Akira Iida yang akan memandu untuk kami tahun ini, saya percaya kami mempunyai pakej yang mampu memberi saingan sekali lagi,” ujar Simon.

Perlumbaan Sepang 1,000km menjadi penanda aras tersendiri dalam kalendar perlumbaan litar di negara ini. Ia  bakal menyaksikan sebanyak 70 buah kereta berasaskan model produksi yang ada di Malaysia berada di kedudukan grid permulaan.

“S1K bukan hanya tentang kepantasan. Sebaliknya apa yang lebih penting ialah keserasian kerjasama sebagai sebuah pasukan, merencana strategi dengan berkesan serta mengekalkan fokus pemanduan di sepanjang perlumbaan. 

“Dengan rakan kerjasama yang baik seperti Toyota, TRD, minyak pelincir Moty’s dan Motec yang menyokong kami, kedua-dua jentera sepatutnya mampu berada dalam kedudukan teratas sekiranya dapat mengelak daripada sebarang kejadian di atas litar,” tambah beliau.

Turut membawa bersama pengalaman luasnya ke dalam pasukan bagi tahun ini ialah pemandu lagenda jentera touring Jepun, Akira Iida. Dengan enam kali sebagai penamat dalam perlumbaan Le Mans 24-hour,  peranan Akira sangat penting di dalam membangunkan daya saing Toyota GAZOO Racing, terutama untuk siri Japan Super GT. 

Beliau juga merupakan anggota penting bagi pasukan ROOKIE Racing yang membangunkan jentera lumba Toyota 86 untuk Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda dan anaknya, Daisuke Toyoda bagi Perlumbaan Super Endurance 24-hour di Fuji Speedway, awal tahun ini.

Bagi perlumbaan S1K, Akira Iida akan berkongsi untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemandu bersama Akio Takeyama dan William Ho yang turut berlumba di dalam Toyota GAZOO Racing Vios Challenge. Sementara itu, kereta kedua bagi pasukan Wing Hin Motorsports pula akan dikendalikan oleh Boy Wong dan Dannies Ng.

Dengan kesungguhannya terhadap sukan pemotoran, penyertaan Akio Takeyama dalam S1K dilihat sebagai cara untuk beliau mendapatkan lebih banyak jarak di dalam litar perlumbaan bagi memperhalusi lagi kemahirannya untuk berlumba bersama nama-nama besar lain yang turut akan memberi saingan.

“Dengan hanya berlumba di dalam Vios Challege untuk dua musim setengah setakat ini, menyertai S1K akan menjadi sesuatu yang sangat baru dan menyeronokkan bagi saya. Saya melihatnya sebagai peluang untuk mencabar kemampuan diri di dalam litar. 

“Saya juga ingin belajar sebanyak mungkin input berharga daripada pakar dalam pasukan seperti Iida dan William Ho, yang mempunyai pengalaman luas,” kata Takeyama.

Perlumbaan S1K akan bermula pada tengah hari 23 November 2019 dengan bendera penamat dijangka dikibarkan sekitar jam 9 malam.

Google ads
Back to top button