Artikel Pilihan

ALFA ROMEO GIULIA QUADRIFOGLIO – SEDAN PERANG DARI ITALI !

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan bercerita tentang sebuah sedan terpower dari Itali. Sedan yang dimaksudkan ialah Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio.

Jentera ini merupakan jentera pertama dari Alfa Romeo yang menggunakan konfigurasi “Front Engine, Rear Wheel Drive” selepas dua dekad sejak produksi Alfa Romeo 75 dihentikan pada tahun 1992. Jentera ini juga merupakan model sedan selepas 5 tahun sejak berakhirnya produksi Alfa Romeo 159.

Bukan itu sahaja, jentera ini juga memegang nama “Quadrifoglio” di akhir namanya menandakan jentera ini merupakan sebuah sedan berprestasi tinggi dan dibuat dengan kualiti yang tinggi.

Kita sentuh sedikit tentang pembangunan jentera ini. Rekaan jentera ini dibuat di Centro Stile Alfa Romeo(Alfa Romeo Style Center) diketuai oleh Mr. Marco Tencone dan juga pasukannya. Jentera ini siap dibina dan mula dipertontonkan kepada umum di Museo Storico Alfa Romeo pada 24 Jun 2015. Ketika acara ini, pihak Alfa Romeo juga turut mengumumkan penggunaan logo baru bagi model yang akan datang. Penggunaan logo baru ini bermula dengan jentera ini iaitu Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio.

Pembangunan jentera ini menggunakan platform “Giorgio” yang dihasilkan oleh pihak Alfa Romeo sendiri dan dikongsi bersama dengan Fiat Chrysler Automobile (FCA) dan juga PSA Group. Menurut pihak Alfa Romeo, kos pembangunan platform ini menelan belanja sehingga €5,000,000. Jentera ini merupakan jentera pertama yang menggunakan platform ini.

Sekarang kita pergi kepda bahagian teknikal jentera ini.

Jentera ini menerima konfigurasi “Front Engine, Rear Wheel Drive”. Binaan cesi jentera ini dibuat dengan sangat seimbang dimana ia menawarkan nisbah berat 50:50 pada bahagian hadapan dan belakang. Hal ini bertujuan untuk membolehkan jentera dapat berada dalam keadaan stabil walaupun dipandu di dalam keadaan ekstrem.

Faktor pengendalian pula ditingkatkan drngan penggunaan sistem gantungan jenis “Double Wishbone” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Kelebihan sistem ini ialah ia dapat memberikan variasi pengendalian yang mantap tanpa mengorbankan aspek keselesaan. Set penyerap hentak juga menerima sistem “Damptronic” dimana sifat keras dan lembutnya boleh dilaras secara elektronik.

Beberapa komponen utama seperti komponen sistem gantungan, kerangka hadapan, kerangka belakang, pintu dan juga fender dibuat menggunakan material “Alumunium Alloy” secara tidak langsung dapat mengurangkan berat kenderaan. Bahagian cesi pula adalah tegar dimana ia diperbuat daripada “Unitized High Strength Steel”

Sebuah jentera yang seimbang dan mempunyai pengendalian yang mantap wajib mempunyai jantung yang kuat.

Disini lah pihak Ferrari memainkan peranan. Pihak Ferrari membuat enjin ini khusus untuk model Quadrifoglio milik Alfa Romeo. Bukan biasa-biasa Tuan-Tuan. Enjin ini menggunakan kod 690T 6 Silinder V6 Turbo Berkembar bersesaran 2,891.26cc (2.9L). Walaupun sesarannya tidak besar, namun kuasa yang dihasilkan adalah amat besar. Enjin Ferrari kot !

Enjin ini merupakan enjin alumunium sepenuhnya dan diilhamkan dari enjin berkod F154 CB V8 yang digunakan pada Ferrari 488. Senang cerita, enjin Ferrari 488, dibuang 2 silinder. Jadi lah enjin 690T ini.

Power tak enjin ini ? Power Tuan-Tuan. Enjin ini dapat menghamburkan kuasa sebanyak 503hp pada 6,500rpm dan daya kilas sekuat 600Nm pada 2,500rpm-5,000rpm. Kuasa yang kuat ini kemudian dihantar ke kotak gear 6-Kelajuan Manual atau 8-Kelajuan Automatik dari ZF berkod 8HP75.

Kuasa yang hebat ini kemudian disalurkan melalui unit “Propeller Shaft” yang dibuat menggunakan “Carbon Fibre” khusus untuk jentera ini. Komponen ini dibuat oleh Hitachi Automotive System dari Jepun. Kuasa yang disalurkan kemudian ke gandar belakang yang dilengkapi dengan “Limited Slip Differential”(LSD) dan juga “Torque Vectoring” yang membenarkan kuasa dihantar 100% ke bahagian kanan atau kiri tayar belakang.

Kalau dah power macam ni, bagaimana dengan prestasi jentera ini ?

Jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h secepat 3.9 saat. Kelajuan tertinggi pula adalah 307km/h. Tuan-Tuan. Ini sebuah sedan dan sesuai untuk membawa ahli keluarga. Ianya mampu dibawa selaju 307km/h tanpa masalah. Talaan asal dari kilang, tidak perlu “Stage 1” atau “Stage 2”. Talaan dari kilang pun dah cukup padu !

Catatan masa jentera ini di litar lagenda iaitu litar Nurburgring Nordschleife pula adalah 7 minit 32 saat. Laju Tuan-Tuan. Sebagai perbandingan, jentera ini mencatat masa lebih pantas berbanding Pagani Zonda F, Koenigsegg CCX, McLaren 650s, Ferrari 458 Italia, Lamborghini Gallardo Superleggera, Lamborghini Murcielago dan Honda NSX NC1. “Supercar” pun kena tapau !

Bagaimana pula prestasi brek jentera ini ?

Bila dah power namatey, brek pun mestilah padu. Jentera ini dilengkapi dengan set angkup brek 6 piston bersama rotor bersaiz 360mm pada bahagian hadapan dan set angkup brek 4 piston bersama rotor bersaiz 350mm. Set brek berprestasi tinggi ini dibekalkan oleh Brembo. Jika tidak cukup, bakal pemilik mempunyai pilihan untuk menaiktaraf sistem brek kepada jenis “Carbon Ceramic”. Set brek “Carbon Ceramic” termasuk set angkup brek 6 piston bersama rotor bersaiz 390mm pada bahagian hadapan dan set angkup brek 4 piston bersama rotor bersaiz 360mm pada bahagian belakang.

Set brek yang bapak besar ini diperkemaskan dengan set rim bersaiz 19 inci dan diselaputi dengan tayar bersaiz 245/35R19 pada bahagian hadapan dan 285/30R19 pada bahagian belakang. Baca pun dah tahu kemas, inikan lagi jika dilihat secara berhadapan.

Selesai bahagian teknikal. Kita pergi pula kepada bahagian elektronik.

Bantuan sistem elektronik jentera ini menerima sistem seperti berikut sebagai ciri keselamatan asas iaitu :-

  • Foward Collision Warning (FCW)
  • Autonomous Emergency Brake (AEB)
  • Pedestrian Detection
  • Integrated Brake System (IBS)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Blind Spot Monitoring (BSM)

Teknologi yang dibekalkan pula adalah yang termaju antaranya seperti berikut :-

  • Alfa Active Aero
  • Alfa Active Suspension
  • Alfa Active Torque Vectoring
  • Alfa Chassis Domain Control (CDC)
  • Alfa D.N.A Pro (Race Mode)

Teknologi seperti “Alfa D.N.A Pro” membenarkan variasi pemanduan dilaras oleh pemandu sama ada mahu memandu dengan santai ataupun secara agresif. Tetapan oleh pemandu akan mengubah reaksi enjin, kotak gear, sistem gantungan serta ekzos.

Jentera ini juga cemerlang dari segi keselamatan apabila mendapat pengiktirafan 5 Bintang EURO NCAP ! Memang selamat.

Antara ciri menarik lainnya ciri “Alfa Active Aero” membenarkan unit “Front Splitter” mengubah kecondongannya sebanyak 10° dan digerakkan melalui motor elektrik. Situasi ini memberikan kelebihan dari segi aerodinamik dan membantu jentera mendapat kira-kira 100kp jumlah “Downforce” ketika kelajuan mencecah 300km/h.

Hasilnya jentera lebih stabil dan melekat di permukaan jalan tanpa rasa melayang. Nilai seretan aerodinamik jentera ini adalah pada kadar Cd=0.32. Nilai-nilai diatas turut dibantu dengan faktor komponen seperti “Carbon Fibre Lip Spoiler” pada but belakang dan juga “Diffuser” belakang. Unit “Diffuser” ini bukan saja-saja pasang, memang ianya berfungsi sebagai komponen aerodinamik.

Bagaimana pula dengan penggunaan bahanapi jentera ini ?

Berbalik kepada ciri “Alfa D.N.A Pro”, akronim “A” merujuk kepada “Advanced Efficiency” dimana apabila mod pemanduan ini diaktifkan, operasi 3 silinder dinyahaktif menjadikan enjin ini hanya beroperasi dengan hanya 3 silinder. Dengan cara ini, penggunaan bahanapi dapat dioptimumkan dan data menunjukkan jentera ini mampu mencapai jumlah penggunaan bahanapi sebanyak 8.5 Liter bagi setiap 100km (8.5L/100km).

Kira bagus lah angka ini untuk sebuah jentera berprestasi tinggi. Kapasiti tangki bahanapi jentera ini adalah sebesar 58 Liter. Jika merujuk harga RON97 di negara kita sekarang dengan harga RM3.12 seliter, anda perlu membayar RM180.96 bagi setangki penuh. Setangki penuh pula boleh membawa anda sejauh kira-kira 682km dengan mode “A”. Jauh bukan ?

Laju, cantik, pengendalian yang mantap dan jimat bahanapi. Cukup betul resipi jentera ini. Namun itu tidak cukup pada Alfa Romeo.

Pada tahun 2018, pihak Alfa Romeo melancarkan model Quadrifoglio NRING Edition. Model ini menerima banyak jajan “Carbon Fibre” diluar dan juga di bahagian dalam kabin. Set brek “Carbon Ceramic” didatangkan sebagai ciri asas.

Pada tahun 2019, pihak Alfa Romeo melancarkan model Quadrifoglio Racing Edition. Model ini dilancarkan sempena menyambut kembalinya Alfa Romeo di dalam kejohanan Formula One. Jentera ini menerima warna eksklusif diilhamkan dari jentera Formula One Alfa Romeo iaitu Alfa Romeo Racing C38. Jentera ini menerima pengurangan berat sebanyak 28kg dari asal. Enjin dinaiktaraf kepada 513hp dan dipandankan bersama set ekzos titanium dari jenama Akrapovic.

Tak cukup lagi, pada tahun 2020 pihak Alfa Romeo melancarkan 2 model “Track Focused” iaitu GTA dan GTAm. Kedua-dua jentera ini menerima pengurangan berat sehingga 100kg dan enjin dinaiktaraf sehingga 533hp. Bukan itu sahaj, boleh dikatakan jentera ini dinaiktaraf secara total dari segi cesi, sistem gantungan serta dimensi. Ia memang dilahirkan untuk dipeoah di litar. Beli, terus masuk “Competition”. Bukan “Track Day”, tapi “Competition”. Kalau joki padu auto menang.

Adakah jentera ini wujud di pasaran negara kita ?

Sebenarnya wujud. Walaupun jenama Alfa Romeo tidak ada pengedar sah di negara kita, namun terdapat beberapa pengedar kenderaan import terpakai sudahpun membawa masuk jentera ini dengan status “Recon”. Harganya pula bermula kira-kira RM550,000 bergantung kepada tahun dan spesifikasi.

Jika dibandingkan dengan pesaingnya iaitu Mercedes Benz C63s dan BMW M3, jentera ini boleh dikatakan menang dari segenap sudut. Paling menarik sesaran enjinnya adalah yang terkecil berbanding kedua-dua pesaingnya. Nilai cukai jalan pula adalah sekitar RM1,858 setahun. Nilai insurans pula bergantung kepada nilai semasa jentera dan juga NCD pemilik.

Berbaloi atau tidak untuk memiliki jentera ini ? Dengar cerita Alfa Romeo banyak masalah ?

Gila tak berbaloi. Sangat berbaloi. Dengan segala apa yang ditulis diatas, jentera ini merupakan “The Ultimate Sedan”. Jentera ini secara automatiknya mampu menyerlahkan karisma sesiapa sahaja yang memandunya.

Jika bercerita tentang masalah, semua kereta ada masalah. Namun Alfa Romeo ini unik, sesiapa yang memilikinya mempunyai jiwa yang kental. Yang biasa bercerita tentang masalah kebiasaannya bukan pemilik, kebanyakan pemilik Alfa Romeo tidak kira apa model lebih suka bercerita tentang bertapa syahdunya memandu sebuah Alfa Romeo.

Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang sedan perang dari Itali ini. Itali terkenal dengan seni, jentera ini merupakan karya seni agung dari Alfa Romeo.

Google ads
Back to top button