Buletin

PELAJAR SENI BINA VIETNAM BIKIN JENTERA ELEKTRIK BATMAN

Seorang pelajar jurusan seni bina universiti di Vietnam membangunkan sebuah jentera elektrik Batman.

Memetik laporan The Sun, replika yang mampu beroperasi sepenuhnya itu dibangunkan Nguyen Dac Chung.

Pelajar berusia 23 tahun itu dijangka akan menjual replika ditampilkan dalam trilogi filem Dark Knight  arahan Christopher Nolan.

Replika Batmobile berkenaan memiliki berat kurang daripada 600 kg dan boleh mencapai kelajuan sehingga 104 km/j.

Ia hadir dengan pintu hidraulik automatik yang dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh serta empat kamera taktikal dengan sudut pandang 360 darjah.

Jentera elektrik tersebut direka menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) dengan elemen-elemen yang dihasilkan secara teliti.

“Ketika kecil, saya merupakan peminat watak-watak komik adiwira terutamanya Batman. Apabila membesar, saya sering mengimpikan untuk mencipta kereta seperti kenderaan Batmobile.

“Pasukan kami mengambil masa  lebih 10 bulan untuk menghasilkan rangka kereta ini  selain dua tahun lagi untuk menyiapkannya secara keseluruhan,” kata Dac Chung. 

Batmobile itu dipamerkan di Galeri Van Daryl di Bandar Raya Ho Chi Minh.

Bakal pembeli berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat mengenai kenderaan itu. – TheSun/KOSMO!

Google ads
Back to top button