
ALZA BAWA 11 PATI REMPUH PALANG TOL GOMBAK
Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 29 Jalan Kuala Lumpur-Lanchang, dekat sini membongkar kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), pada Khamis.
Kegiatan itu dikesan ketika rondaan pasukan peronda Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman kira-kira jam 8 pagi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, ketika hendak ditahan, Perodua Alza terbabit telah memecut menghala ke Tol Gombak.
Pemandu terbabit kemudian bertindak merempuh palang tol berkenaan dan berlaku aksi kejar mengejar hingga di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Pemeriksaan berjaya menahan pemandu lelaki tempatan serta 11 orang PATI. Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan di Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen (pindaan) 2002 (Akta 155),” ujarnya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tahniah diucapkan kepada anggota JSPT di atas kejayaan ini. Menurut sumber, suspek lelaki tempatan berperanan sebagai transporter dan kesemua PATI termasuk seorang wanita adalah warga Myanmar. – Sinar Harian