Buletin

PRESIDEN MAA, DATUK AISHAH AHMAD MENINGGAL DUNIA PADA USIA 71 TAHUN

Presiden Malaysian Automotive Association (MAA), Datuk Aishah Ahmad dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 71 tahun.

Allahyarhamah telah berbakti sebagai Presiden MAA selama hampir 23 tahun sejak tahun 2000.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hal Ehwal Korporat di Sime Darby Motors, CEO Sime Darby Auto Imports Sdn Bhd serta Perunding Kanan di Hyundai-Sime Darby Motors.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, berkata Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan dalam industri.

“Kepimpinan, visi, dan dedikasi beliau dalam menguruskan MAA telah memberi impak yang berkekalan kepada industri.

“Beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia,” kata Syed Faisal.

“DRB-HICOM merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga, rakan taulan dan rakan sekerja Datuk Aishah. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di Jannah.”

Google ads
Back to top button