Pandu Uji

PERODUA ALZA AV, TAK LAWA PUN. TAPI SANGAT BERBALOI

“Well, if this were beauty pageant contest we’re just lost”. Ini antara skrip perbualan Ken Miles dengan Caroll Shelby dalam filem Ford vs Ferrari sebaik sahaja melihat pasukan Ferrari membawa masuk jentera mereka ke dalam litar perlumbaan Le Mans. Penulis rasa ia adalah ungkapan yang sesuai apabila melihat Perodua Alza di depan mata ketika dilancarkan di sebuah pusat pameran baru-baru ini.

Tiada apa yang salahnya dengan rekaan muka depan Alza yang menggabungkan unsur huruf X pada bampar bawah dengan jeriji hitam besar dan terapung. Cuma rekaan depan sebegini kelihatan tidak kena pada mata penulis, tapi tidak pada kebanyakan pembeli Alza baru.

Buktinya sehingga bulan September 2022, sebanyak 51,000 tempahan sudah dibuat oleh rakyat Malaysia pada Perodua Alza yang baru. Jika dilihat pada sudut pandangan 3 quarter pula, Alza baru ini kelihatan agak panjang sama seperti sebuah wagon. Rekaan ini jauh berbeza dengan Alza lama yang kelihatan lebih melengkung

Tapi sebaik sahaja anda mulai memasuki kabin, duduk dan memandu anda akan abaikan semua perkara berkenaan dengan unsur rekaan luar Perodua Alza. Anda beli MPV kompak ini bukannya untuk memasuki mana-mana pertandingan kereta paling lawa atau paling bergaya. Anda beli Alza ini sebab ia menawarkan best bang for the buck. Menang memakai, alah membeli.

Dengan harga penawaran RM 75,500 bagi varian Advance, mana mungkin Alza menggunakan kemasan suede pada papan pemuka melainkan plastik biasa. Tapi rekaan ini dikemaskan dengan penggunaan tona warna merah pada papan pemuka dan door trim depan serta warna yang sama pada balutan kulit kusyen.

Paparan meter menggunakan unit yang sama seperti Ativa, bermakna Alza mendapat 4 rekaan meter dengan meter halaju dibuat dengan saiz font paling besar mungkin saiz 48. Perhatian turut diberikan pada penggunaan semua suis pada roda stering, suis tambahan di papan pemuka dan suis kawalan tingkap.

Pada waktu malam semua suis ini menyala dengan warna yang sama. Unit multimedia 9 inci ini menyediakan sambungan Apple Car Play/Android Auto, tapi gagal disambungkan dengan telefon jenama Hawau penulis. Hanya sambungan Bluetooth sahaja boleh digunakan.

Cukup dengan komplen, berikut ialah aspek yang boleh dipuji pada Perodua Alza yang baru berdasarkan pemerhatian penulis.

1. Ergonomik -ramai yang kurang suka dengan balutan kusyen fabrik dan kulit yang digunakan, tapi bagi penulis penggunaan fabrik lebih baik kerana kusyen menjadi lebih lembut dan kurang panas. Dengan ketinggian 160cm, ketinggian penyandar dan panjang tempat duduk adalah sangat selesa.

Bolster turut ditambah di bahagian tepi penyandar menjadikan bahagian pinggang dan lower back penulis dibalut dengan kemas. Tak terhensot bila dipandu laju di laluan berselekoh

2. Stering – feedback atau tindakbalas yang dihasilkan jauh lebih baik berbanding dengan Alza model sebelumnya dengan respon tayar adalah pantas dan bahagian belakang Alza mengikuti selekoh dengan cepat. Alza lama memerlukan anda memberikan input yang lebih jika dipandu di selekoh.

Mungkin ratio stering sudah bertambah, maka anda akan senang membuat putaran U di laluan sempit dengan mudah walaupun panjang keseluruhan Alza ialah 4425mm . Tapi sayangnya ciri teleskopik masih tidak diberikan

3. Pecutan – Alza dijana oleh enjin 1500cc dual-VVTi yang sama digunakan oleh Myvi dengan janan kuasa sebanyak 105 kuasa kuda dan 138Nm tork pada 4200 RPM. Atas kertas, enjin ini kelihatan kalah pada Alza generasi pertama yang menjana sehingga 107 kuasa kuda dan 141Nm tork.

Tapi realitinya pecutan Alza baru ini tidaklah lemau sangat kerana digandingkan dengan transmisi Dual Mode CVT, Alza seberat 1170kg ini boleh memecut ke depan tanpa masalah melainkan kedengaran sedikit bunyi DCVT sedang bekerja.

Tapi bila mencecah halaju 80-110km/jam, pecutan yang dihasilkan oleh enjin ini boleh dikatakan cukup untuk sebuah MPV dengan muatan 7 orang. Anda boleh terus memecut ke halaju yang lebih tinggi jika berani dengan cesi DNGA memberikan rasa kestabilan yang baik ketika di laluan lurus.

Ada 3 mode pemanduan yang disediakan iaitu ECO (jarang sekali digunakan penulis), Normal atau Power bagi memberikan respon enjin dan penukaran gear yang lebih bertenaga. Jika anda perlu memotong kenderaan perlahan atau mendaki bukit, jangan segan menggunakan mode gear Sport dengan menarik tombol gear ke kiri

Ratio gear DCVT akan direndahkan bagi memberikan pecutan yang lebih bagus, dan menghasilkan brek enjin ketika menuruni bukit. Atau gunakan sahaja mode gear manual sepenuhnya jika anda ingin mengawal semua 7 ratio maya yang disediakan

Kombinasi gear DCVT dengan enjin 1500cc dual VVTi ini sebenarnya sudah cukup, anda tidak rasa seperti kuasa enjin tersangkut dalam kotak gear seperti Alza yang lama dimana anda perlu menggunakan gear 2 untuk memecut dan mendaki bukit

4. Pengendalian – sekali lagi cesi DNGA membuktikan ia jauh lebih lebih bagus berbanding dengan cesi lama Alza yang diasaskan daripada Myvi generasi lama. Pertama dalam aspek keselesaan, pembaharuan yang dirasakan ialah bahagian depan tidak lagi berhenjut 2 kali apabila melalui jalan tidak rata yang boleh menyebabkan penumpang belakang terasa pening

Ditambah dengan aspek tindak balas stering yang ditambah baik, maka anda akan dapati ia lebih berkemampuan dan memiliki cengkaman mekanikal yang lebih baik di selekoh berbanding dengan Alza lama. Ujian dengan memasuki simpang pada sudut 90 darjah gagal membuatkan Alza menjadi goyang atau tidak stabil

Malah cengkaman yang dijana oleh tayar Toyo Proxes CR1 pun boleh dipuji, jarang sekali Alza mengalami understeer melainkan anda menekan pedal minyak secara berlebihan di selekoh. Kalau diperhatikan, anda akan perasan bar anti oleng telah terbina dalam torsion beam bagi menghasilkan pengendalian yang lebih baik. (Alza lama bar anti oleng dipasang di sebelah belakang)

Tapi bahagian belakang Alza akan terhenjut sebanyak 2 kali apabila anda membawa penumpang di barisan ke 3. Bagi mengelakkan mereka komplen, tolong pandu dengan berhemah pada kelajuan kebangsaan dan perlahan ketika di jalan tidak rata.

5. Brek – hanya varian AV sahaja yang dibekalkan dengan brek cakera belakang bagi kuasa membrek yang lebih meyakinkan. Untuk Alza lama, anda akan terasa seperti ia sedikit menggelongsor ketika pedal brek dipijak rapat dalam situasi kecemasan. Bagi varian H dan X, ia masih mengekalkan brek drum.

Samaada anda membrek secara normal atau membrek dalam situasi kecemasan, kesan membrek ini tidak akan membuatkan cesi DNGA ini terherot ke kiri ataupun kanan. Brek cakera pada roda belakang ini memboleh Alza menggunakan ciri Stop/Hold & Follow yang mana ia membenarkan Alza dipandu secara automatik tanpa menerima input pada pedal minyak dan brek ketika di kesesakan jalan raya.

6. Advanced Safety Assist – memandu pada waktu malam dengan Alza memang best kerana lamp depan diberikan teknologi LED Matrix. Setiap lampu depan menerima sehingga 8 unit LED yang boleh dimatikan dan ditinggikan secara individu. Lampu ini akan sentiasa menggunakan lampu tinggi secara optimum.

Melainkan terdapat lampu jalan, atau motosikal dan kereta yang lain di jalan. Jika ada kereta di depan datang dari arah bertentangan, lampu kanan akan direndahkan manakala lampu kiri kekal menggunakan lampu tinggi. Jika anda membelok masuk ke simpang, cornering lamp akan dinyalakan

AEB pula berupaya mengenalpasti pejalan kaki pada waktu malam, memberikan amaran ketika penulis menghampiri pegawai polis yang membuat sekatan dalam mode Stop/Hold & Follow. Malah sistem Front Departure Alert memberikan amaran jika ia mengesan kereta di depan sudah bergerak walaupun dalam gelap

7. Noise, Vibration & Harshness – berikut ialah kadar bunyi dan kebisingan yang boleh didengari oleh penulis mengikut halaju. Semakin laju dipandu, semakin kuat bunyi yang dihasilkan.

Dalam aspek gegaran, Alza jauh lebih baik berbanding Aruz dalam aspek operasi Start/Stop enjin. Jika Aruz menyebabkan gegaran pada kusyen, Alza pula tidak menghasilkan sebarang gegaran ketika operasi Start/Stop digunakan

Berdasarkan pemerhatian penulis, Alza hanya mulai terasa laju bila dipandu dengan halaju 100km/jam di jalan raya persekutuan dengan permukaan jalan yang tidak rata. Ketika ini barulah dirasakan suspensi torsion beam dan cesi DNGA tidak mampu menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik jika dipandu terlalu laju

8. Lain-lain ciri keselesaan yang dijumpai pada Perodua Alza AV termasuklah:

a. Lampu kabin akan menyala sebaik sahaja kita rapat dengan kereta

b. kusyen barisan kedua boleh direndahkan dengan maksimum, penumpang belakang boleh tidur dengan selesa

c. Kusyen barisan kedua bila dilipat ke hadapan, ruang bukaan untuk mengakses ke barisan ke tiga adalah sangat luas

d. Pintu ruang kargo di belakang membolehkan penumpang setinggi 170cm berdiri tanpa membongkokkan badan

e. Penulis dengan ketinggian 160cm tiada masalah untuk duduk di kusyen barisan ke 3

9. Purata penggunaan petrol adalah bergantung 100% kepada cara pemanduan dan halaju. Ia boleh menjadi setinggi 14km/l bila dipandu dengan halaju antara 120-160km/jam dan menjadi serendah 18km/l bila dipandu pada halaju 90km/jam. Kalau anda kekal pada 120km/jam, maka Alza memberikan 16km/l dengan mudah

Disebabkan penulis menggunakan kereta sewaktu perayaan Deepavali maka ujian perjalanan dengan halaju malar susah untuk dibuat disebabkan semua memandu dengan halaju syaitonirrajim. Nak kekal di lorong kiri semua perlahan sangat, cuba duduk di lorong kanan semua laju. Tapi paling sakit hati ada yang bawak 100km/jam di lorong kanan. Perangai bangkai biawak betul

10. Berikut ialah beberapa kelemahan yang sempat diperhatikan oleh penulis seperti berikut:

Perhatikan tangki bahan api yang dihasilkan daripada plastik dan bar anti oleng terbina dalam torsion beam

a. gear terasa kurang lancar ketika dalam keadaan merayap atau dipandu perlahan. Sesekali RPM enjin menyentap naik

b. Adaptive Cruise Control akan mengesan kereta di depan terlalu awal/dekat, membrek dengan awal dan lambat untuk memecut semula

c. gagal membuat sambungan Android Auto

Secara keseluruhan penulis memang berpuas hati dengan cesi Daihatsu New Global Architecture yang digunakan oleh Alza serta kombo transmisi DCVT yang digunakan. Aspek bonus lain seperti Advanced Safety Assist lengkap dengan sistem Adaptive Cruise Control memang memikat hati.

Abaikan saja rekaan luar yang kurang menawan tu, tawaran teknologi yang ada pada Alza sudah cukup untuk meyakinkan pembeli pada harga RM 75,500. Cuma anda kena bersabar kerana anda perlu menunggu antara 6-10 bulan untuk kereta anda sampai selepas tempahan dibuat.

Google ads
Back to top button