Artikel Pilihan

APA BEZA FOGLAMP (LAMPU KABUS) DENGAN SPOTLIGHT?

Salah satu pemahaman yang salah berkenaan dengan lampu kereta ialah kita selalu beranggapan bahawa semua lampu yang dipasang selain daripada lampu asal ialah spotlight. Kereta yang keluar dari kilang akan memiliki sekurang sepasang lampu utama dan juga lampu kecil bagi memenuhi syarat regulasi JPJ di bahagian depan

Namun bagi sesetengah pemilik yang selalu memandu di waktu malam, menggunakan hanya sepasang lampu sahaja pada waktu malam atau awal pagi memang azab. Sebab pada waktu itu kabus akan muncul secara misteri. Bila kita pakai lampu tinggi atau high beam, lagi teruk sebab cahaya lampu akan dipantulkan semula oleh kabus

Disebabkan kita hanya membeli kereta dengan varian terendah dengan mentol halogen, maka kita tiada lampu tambahan yang dikenali dengan nama sebenar iaitu lampu kabus. Tapi kita selalu tersalah anggap dan terus melabelkan lampu tersebut sebagai spotlight, dan meminta kedai aksesori memasang sepasang lampu spotlight.

Lampu kabus dengan mentol LED

Sedangkan terma yang sebanar ialah ia adalah foglamp atau lampu kabus yang merupakan aksesori standard yang akan dipasang pada varian yang lebih mahal serta diberikan suis khas. Dalam istilah teknikal, lampu kabus ialah lampu tambahan yang dipasang di bawah lampu utama dan dipasang bila jarak penglihatan menjadi semakin teruk disebabkan cuaca seperti kabus dan hujan

Kedudukan lampu kabus adalah antara 20mm-40mm dari permukaan jalan dan tidak boleh melebihi tinggi lampu utama. Mengikut peraturan UN R048, lampu kabus juga wajib memiliki suis yang berasingan daripada lampu utama dan juga lampu tinggi serta boleh dimatikan tanpa menutup lampu utama.

Ini kerana tujuan lampu kabus ialah untuk membantu lampu utama, bukan menggantikan lampu utama disebabkan paten cahaya yang dihasilkan bukanlah jenis jauh ke depan, tapi melebar. Undang-undang UNR48 juga menerapkan bahawa lampu kabus mesti menggunakan warna putih atau oren sahaja.

Paling bagus warna oren sebab warna putih ini tak berguna ketika kabus. Warna oren boleh membelah kabus dengan baik dan pada masa yang sama tidak menyebabkan silau pada pengguna jalan raya lain. Manakala lampu kabus belakang akan menggunakan warna merah sahaja, jadi tak payah gatal-gatal nak tukar warna lain.

Malah sudut pemasangan lampu kabus juga perlu dihalakan sedikit pada permukaan jalan, bukan hala ke langit untuk suluh UFO. Jika lampu utama menyuluh jauh ke depan, lampu kabus akan menerangi permukaan jalan di bahagian bawah yang tidak dicapai oleh lampu utama dengan jarak beberapa kaki dari kereta.

Lampu kabus boleh menggunakan mentol halogen dari pelbagai saiz tapi saiz yang popular ialah H7 atau H11. Tapi trend automotif terkini ialah penggunaan mentol LED pada lampu kabus yang agak memeningkan kepala penulis, tapi mungkin pengeluar ada alasan tersendiri

Paten suluhan lampu utama, spotlight dan lampu kabus

Walau apa pun mentol yang digunakan, peraturan UNR048 menetapkan bahawa kadar keterangan mentol atau lumens mestilah tidak boleh melebihi 2000 lumens, lebih rendah dari lampu utama 4300 lumens. Jika paten cahaya lampu kabus adalah melebar, paten cahaya spotlight adalah lebih fokus dan menyuluh lebih jauh dari lampu utama sehingga 160 meter dengan kekuatan 18,000 lumens!!!

Keadaan ini menjadikan spotlight sebenarnya TIDAK BOLEH digunakan di atas jalan awam. Sesetengah negara maju hanya membenarkan kenderaan kecemasan sahaja menggunakan spotlight seperti ambulans, kereta polis, bomba, peronda lebuh raya, kenderaan khas untuk servis seperti kren untuk memeriksa tiang elektrik dan telefon.

Ada sesetengah syarat menetapkan sudut spotlight yang dipasang mestilah boleh diubah mengikut kegunaan. Tapi pihak berkuasa masih membenarkan pemasangan spotlight pada kenderaan 4×4 sahaja dengan syarat-syarat berikut:

Notifikasi pada meter. Dari kiri lampu kabus depan, lampu kabus belakang dan lampu utama

1. Mesti guna warna putih atau oren sahaja

2. Mesti dipasang dibahagian depan kenderaan, bukan atas bumbung dan tidak boleh lebih 1524mm dari permukaan jalan

3. Maksimum hanya 2 unit tambahan sahaja boleh dipasang

4. Hendaklah digunakan ketika aktiviti offroad sahaja dan mesti ditutup ketika kenderaan dipandu atas jalan raya

Spotlight boleh menggunakan mentol halogen biasa ataupun LED tapi kebanyakan mentol ini dijual dengan satu peringatan khas “hanya boleh digunakan ketika offroad sahaja”. Jadi ketika anda membeli mentol gantian bagi lampu kabus atau lampu utama pastikan anda tak terbeli mentol untuk spotlight

Nanti anda akan disumpah seranah kerana cahaya dia kuat dan boleh menyebabkan buta sementara akibat silau yang akhirnya membahayakan pengguna jalan raya lain. Jadi kenal pasti spesifikasi lampu kabus dan spotlight sebelum anda pasang pada kereta anda. Silap pasang anda kena sama dengan JPJ.

Google ads
Back to top button