Artikel Pilihan

APA BEZA PEMANDUAN PACUAN DEPAN DAN BELAKANG? FWD VS RWD

Nissan Skyline R34 GT Turbo dan Mercedes Benz E43 AMG ada persamaan, iaitu mengalami kemalangan di ketika dipandu oleh bukan pemilik sebenar kereta. Skyline R34 GT Turbo (atau singkatanya GTT) adalah berbeza dengan GT-R kerana semua kuasa daripada enjin dihantar ke tayar belakang

E43 AMG pula walaupun menggunakan sistem pacuan semua roda 4Matic, nisbah kuasa yang dihantar ialah 31% ke depan, 69% di belakang menjadikannya dominan pada tayar belakang. Kebanyakan kereta sport akan cuba mengekalkan rekaan yang sama sejak dari dulu iaitu semua kuasa dihantar ke tayar belakang dan tayar depan digunakan untuk stering sahaja

Sebab rekaan ini digunakan ialah jurutera mahu cengkaman mekanikal yang wujud antara tayar dengan jalan adalah dalam keadaan optimum pada semua tayar. Tayar belakang mengcengkam jalan untuk membuat pecutan, manakala tayar depan melaksanakan input stering serta membrek.

Perhatikan propeller shaft di bahagian tengah

Jika tayar depan gunakan untuk menerima kuasa seperti yang dibuat oleh Honda Civic Type-R atau Ford Focus RS, kita sebenarnya meminta tayar depan bekerja dengan lebih kuat. Ia perlu memecut, membrek dan membelok pada masa yang sama. Kita letakkan terlalu banyak tekanan pada cengkaman mekanikal

Kuasa yang terlalku tinggi pada tayar depan akan menyebabkan torque steer, dan jika kita terlalu agresif di selekoh akan menyebabkan understeer. Setakat ini hanya Honda Civic Type R berani mengenakan 316 kuasa kuda pada kereta produksi mereka. Kereta pacuan belakang ini akan memberi reward pada pemandu yang mahir di selekoh

Pada tangan pemandu professional, mereka akan memotong di selekoh dengan lebih yakin dengan kereta pacuan belakang berbanding kereta pacuan depan. Namun dengan perkembangan teknologi automotif yang memberi penekanan pada kecekapan bahan api, lebih mesra alam dan ruang dalaman yang luas menyebabkab pengeluar lebih banyak memilih untuk menghasilkan kereta pacuan depan.

Kereta pacuan depan akan menghantar semua kuasa ke tayar depan, jadi unit transmisi akan dipasang terus dalam ruang enjin dan menjadikan ruang kabin lebih luas. Cesi juga tidak memerlukan transmission tunnel yang menjadikan ruang dalaman semakin sempit. Ia tidak menggunakan propeller shaft untuk menghantar kuasa ke tayar belakang

Kereta pacuan depan juga menggunakan rekaan mekanikal yang lebih ringkas menyebabkan ia menggunakan bahan api dengan lebih efisyen dan mengurangkan pembebasan asap serta karbon dioksida. Jenama besar seperti BMW juga terpaksa akur dengan keadaan semasa dan menghasilkan kereta pacuan depan.

Model seperti BMW 1 Series F40, BMW X1 F48 SDrive, BMW X2 F39, serta MPV BMW 2 Series Active Tourer ditawarkan dengan pilihan pacuan depan. Hanya model yang benar-benar dihasilkan untuk sport sahaja akan menggunakan pacuan belakang seperti BMW Z4, Toyota Supra, Subaru BRZ, Toyota GT dan Mazda MX-5 dihasilkan dengan pacuan belakang.

Dengan hanya 2 penumpang sahaja, kereta ini bukan dibina untuk praktikaliti dan harganya mahal jauh dari kemampuan rakyat marhaen. Kalau ada yang mampu beli baru secara pinjaman bank pun mungkin Toyota Avanza dan Perodua Aruz. Model pacuan belakang yang masih ada perlu dibeli secara tunai.

Ini menjadikan pilihan kereta pertama rakyat Malaysia ialah Kancil, Saga, Myvi, Persona, Bezza dan Vios yang semuanya menggunakan pacuan depan. Dari aspek pemanduan, model pacuan depan sebenarnya lebih memaafkan berbanding dengan pacuan belakang. Jika anda terlalu agresif di selekoh, ia akan understeer.

Angkat sahaja pedal minyak, dan kereta akan membetulkan semua sudut kemasukan selekoh (yaw moment) dengan senang. Jika anda memandu terlalu laju di selekoh dengan pacuan belakang, anda akan dihadiahkan dengan oversteer. Bagi pemandu professional, anda boleh drift dan berlagak sedikit.

Bagi pemandu tak pro macam penulis, kereta anda mungkin berakhir dalam gaung. Cara mengambil selekoh juga berbeza antara kereta pacuan depan dan belakang. Jika anda mahir, anda boleh gunakan trail braking ketika selekoh bagi mendapat kelajuan maksimum. Kalau pro boleh guna kaki kiri.

Bagi kereta pacuan belakang, teknik brek yang digunakan adalah berbeza. Anda perlu brek secara maksimum di jalan lurus, ambil selekoh dan tekan pedal minyak secara progresif. Tindakan ini akan menyebabkan weight transfer dari depan ke belakang yang memberikan lebih banyak cengkaman pada tayar belakang, bagus untuk pecutan

Tapi ingat, terlalu banyak pedal minyak ditekan akan menyebabkan cengkaman tayar belakang akan hilang dan menyebabkan oversteer. Jika anda terkejut dan melepaskan pedal minyak, kereta akan oversteer. Terlalu agresif dalam menukar gear tanpa melakukan heel&toe, ia juga akan oversteer. Terlalu sedikit pedal minyak ditekan, ia akan menyebabkan understeer.

Kereta pacuan belakang ini lebih sensitif dengan oversteer, dan dengan kurangnya pengalaman serta pendedahan pemandu Malaysia berkenaan oversteer ini kita akan dapat melihat banyak kemalangan berlaku bukan berpunca daripada kelemahan kenderaan, tapi kurangnya pengalaman pemanduan kita dengan kenderaan pacuan belakang

Ingat kereta pacuan belakang memiliki dinamik pemanduan yang berbeza dengan kereta pacuan depan. Penulis memiliki kereta pacuan depan dan juga 4×4 yang pada kebanyakan masa menggunakan pacuan belakang.

Jadi setiap kali menukar kereta, mindset mesti kena ubah terutama jika anda memandu kereta pacuan belakang berkuasa tinggi. Snap oversteer di jalan lurus terutama di lampu isyarat pun boleh berlaku jika anda terlalu agresif dan teruja dengan kereta tersebut. Jadi jangan hairan jika anda nampak kereta Mustang di Amerika selalu kemalangan seorang diri di lampu isyarat.

Google ads
Back to top button