Buletin

APLIKASI VOLKSWAGEN CARES CATAT 30,000 MUAT TURUN SELEPAS 2 TAHUN

Selepas dua tahun dilancarkan, aplikasi mudah alih Volkswagen Cares sudah berjaya mencatat 30,000 muat turun dan ahli. 

Aplikasi yang dilancarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif selepas jualan Volkswagen Cares yang komited untuk memberikan yang terbaik kepada pemilik kenderaaan Volkswagen di negara ini.

Merupakan insiatif tempatan sepenuhnya, aplikasi Volkswagen Cares dibangun dan diuruskan oleh kepakaran tempatan untuk pasaran Malaysia. 

Aplikasi ini menyaksikan pertumbuhan sebanyak 16,498 ahli pada tahun 2019. Manakala tahun 2020 merekodkan pertumbuhan 46 peratus dengan 9,483 ahli dan mencapai 30,000 muat turun setakat 30 November 2020.

“Kemudahan untuk masuk ke dalam dunia Volkswagen menerusi aplikasi mudah alih ditawarkan di pelbagai pasaran Volkswagen di seluruh dunia. Kami berbesar hati untuk menyatakan bahawa aplikasi kami ini menyaksikan tahap penerimaan yang sangat baik berbanding pasaran lain yang diuruskan oleh Porsche Holdings Group.

“Kami sudah merancang untuk merombak dan meningkatkan lagi ciri serta tawaran aplikasi ini pada tahun hadapan,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

Aplikasi Volkswagen Cares merupakan satu aspek penting buat para pemilik kerana tawaran selepas jualan seperti baucar servis percuma selama 3 tahun dan pakej servis hanya boleh diakses serta disambungkan secara eksklusif menerusi aplikasi ini.

Mereka yang memiliki kenderaan berusia lima tahun dan ke atas di bawah program Volkswagen Care Plus (VCP) juga boleh melihat serta mengakses kelebihan yang disediakan melalui aplikasi ini. 

Ciri-ciri lain yang ada pada aplikasi tersebut termasuklah tawaran terkini jualan dan selepas jualan, video pendidikan, kemas kini acara serta bantuan tepi jalan 24 jam – semuanya melalui satu sentuhan sahaja.

Mereka yang bukan pemilik kenderaan Volkswagen juga dijemput untuk memuat turun aplikasi ini untuk mengakses banyak tawaran jualan dan kandungan video. Selain menerima kemas kini tentang acara dan jualan menerusi notifikasi.

Aplikasi mudah alih Volkswagen Cares boleh didapati untuk IOS dan Android. Ia boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

Google ads
Back to top button