Buletin

VOLKSWAGEN GROUP BAKAL JUAL BUGATTI KEPADA RIMAC AUTOMOBILI?

Sepanjang minggu ini, terdapat banyak berita menarik yang dikongsi dengan pembaca. Antaranya ialah debut Nissan Proto Z, Hyundai Tucson 2020 ean Ferrari Portofino M. 

Tetapi, kini timbul lagi satu berita panas mengenai industri automotif dunia. Car Magazine melaporkan bahawa Volkswagen Group bakal melepaskan pegangan jenama mewah Bugatti kepada Rimac Automobili.

Besar kemungkinan jenama itu dipindahkan ke Rimac menerusi jumlah saham yang lebih tinggi kepada Porsche. 

Menurut sumber rapat, perjanjian atau deal tersebut telah diluluskan oleh eksekutif Volkswagen, tetapi cadangan itu masih belum menerima kelulusan penuh daripada lembaga pengurusan tertinggi Volkswagen lagi.

Secara teknikalnya, sebahagian daripada Bugatti masih mempunyai kaitan dengan Volkswagen Group memandangkan Porsche mempunyai 15.5 peratus dalam Rimac. 

Persetujuan dengan pembuat hypercar dari Croatia itu bakal melihat Porsche memiliki lebih banyak saham dalam Rimac. 

Apa yang pasti, Volkswagen Group sudah tidak berminat untuk terus melabur wang ke dalam jenama yang berpangkalan di Molsheim itu, terutama selepas Ferdinand Piech tidak lagi bersama konglomerat itu sejak tahun 2015, sebelum meninggal dunia empat tahun kemudian. 

Sebaliknya, semua sumber yang ada perlu disalurkan kepada program pelaburan teknologi masa depan seperti elektrifikasi, pendigitalan dan pemanduan autonomi. 

Keluarga Piech masih mempunyai 50 peratus kepentingan di dalam Volkswagen Group. Satu-satunya cara menyakinkan mereka untuk menjual Bugatti adalah dengan membuatkan Porsche menerima manfaat daripada penjualan tersebut. 

Matlamat utama adalah untuk meningkatkan jumlah saham Porsche kepada 49 peratus dalam Rimac. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hyundai/Kia, Koenigsegg, Jaguar dan Magna telah melabur ke dalam Rimac yang baru berusia 11 tahun. 

Tunggu dulu, ada banyak lagi. Nampaknya, Bugatti bukanlah satu-satunya jenama di bawah Volkswagen Group yang akan dijual. Lamborghini, SEAT, Italdesign dan Ducati kini dalam pertimbangan untuk menerima nasib yang sama.

Volkswagen dipercayai telah berunding dengan pelabur-pelabur berpotensi, tetapi penularan wabak COVID-19 menyebabkan rundingan terbantut.  

Google ads
Back to top button