Motosikal

DUCATI MULA PRODUKSI MULTISTRADA V4 DENGAN SISTEM RADAR. ADA ACC, AMARAN TITIK BUTA

Produksi Ducati Multistrada V4 yang menjadi motosikal pertama dilengkapi teknologi radar di bahagian hadapan dan belakang sudah dimulakan di kilang Ducati di Borgo Panigale, Itali.

Bakal dilancarkan pada 4 November 2020, Multistrada generasi keempat itu menerima pelbagai bentuk penambahbaikan. Ducati telah membangunkan enjin V4 baharu yang lebih ringan dan kompak bagi memenuhi keperluan adventouring pelanggannya.

Ducati membawakan teknologi radar ke dalam motosikalnya, sekali gus mengesahkan apa yang diuar-uarkannya sejak tahun 2018. Adaptasi sistem tersebut bakal menjadi revolusi sebenar ke dalam dunia jentera dua roda.

Sistem itu didakwa akan memberi keselesaan dan membantu penunggang terutama ketika mengharung perjalanan yang jauh. Radar berkenaan berupaya menganalisa persekitaran pada masa sebenar.

Minat Ducati terhadap sistem radar itu bermula sejak tahun 2016 lagi apabila ia menjalin kerjasama dengan Jabatan Elektronik, Maklumat dan Biokejuruteraan Politecnico di Milano.

Ujian awal menunjukkan teknologi tersebut boleh digunakan pada motosikal. Ini membuatkan Ducati menghasilkan satu pakej bantuan tunggangan yang lengkap melibatkan dua radar dalam tempoh empat tahun.

Pembangunan sistem itu mendapat kerjasama rapat daripada Bosch sebelum dipasang pada Multistrada V4. Radar itu mempunyai saiz yang kompak seperti kamera GoPro dan hanya seberat 190 gram.

Radar yang dipasang pada bahagian hadapan mengawal operasi Kawalan Jelajah Adaptif (ACC). Maksudnya, ia mampu mengawal brek dan pecutan secara automatik berdasarkan kepada kenderaan di hadapan.

Penunggang boleh memilih daripada empat jarak dengan kelajuan bermula 30 hingga 160km/j. Sistem yang tidak jauh berbeza dengan apa yang dipasang pada kereta itu dibangun berdasarkan kepada dinamik dan ergonomik jentera dua roda.

Ini bermakna keupayaan autonomi sistem dari segi memecut dan memperlahankan jentera telah dihadkan bagi memastikan penunggang boleh mengawal motosikal dalam apa jua situasi.

Radar belakang pula berfungsi mengesan dan melaporkan kenderaan yang berada dalam titik buta. Sistem Blind Spot Detection (BSD) juga memberi amaran jika ada kenderaan yang mendekati pada kelajuan tinggi.

Google ads
Back to top button