RASMI: YAMAHA LANCAR MT-09 DENGAN TRANSMISI AUTOMATIK Y-AMT
Yamaha Motor dengan rasminya melancarkan Yamaha MT-09 dengan transmisi automatik Y-AMT (Yamaha Automated Manual Transmission) untuk pasaran global.
Kemunculan model pertama dengan sistem Y-AMT itu telah pun dijangka berdasarkan dokumen kelulusan jenis yang telah difailkan di Jepun baru-baru ini.
Pengumuman terbaru ini secara langsung meletakkan Yamaha sebagai antara pemain baharu dalam menghasilkan motosikal berkuasa tinggi dengan fungsi transmisi automatik.
Y-AMT
Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT) merupakan teknologi terbaru diperkenalkan Yamaha bertujuan meningkatkan pengalaman menunggang yang lebih efisien dan lancar. Ini kerana Y-AMT menyingkirkan fungsi ‘lever’ klac.
Y-AMT menawarkan dua tetapan, Automatic Transmission (AT) yang membenarkan penunggang mengoperasikan MT-09 dengan hanya ‘twist and go’ (pulas dan jalan) seperti sebuah ‘skuter’. Manakala tetapan Manual Transmission (MT) pula membenarkan penunggang melakukan pertukaran gear dengan menekan butang disediakan di ‘handlebar’.
Pemilihan AT dan MT boleh dilakukan menerusi butang khas yang tersedia di sebelah kanan ‘handlebar’. Sistem AT pula menawarkan dua mod, D+ dan D yang mudah diakses menerusi butang MODE.
Enjin dan suspensi
Sementara itu, Yamaha MT-09 Y-AMT ini masih lagi mengekalkan perincian sama dengan versi manual termasuk enjin CP3 tiga silinder 889cc yang berupaya mencerna 119hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm.
Bagaimanapun, ketika MT-09 versi manual menawarkan fungsi ‘quickshifter (menukar gear menggunakan kaki tanpa menarik klac), varian MT-09 Y-AMT pula hanya menawarkan ‘foot peg’ untuk merehatkan kaki kerana proses tukar gear dilakukan sepenuhnya menerusi butang khas di ‘handlebar’.
Antara kelengkapan lain dikekalkan dari MT-09 manual termasuk fork USD 41mm dengan monoshock boleh laras dan brek radial master cylinder dari Brembo yang dipadankan bersama cakera brek berkembar 298mm depan.
Buat masa ini pasaran Malaysia masih lagi menawarkan generasi terdahulu dengan model 2024 ini masih belum dijadualkan untuk pelancaran disini.
GALERI: YAMAHA MT-09 Y-AMT