Buletin

AUSTRALIA MAHU SEMUA KERETA BAHARU ADA CIRI KESELAMATAN TAMBAHAN APABILA BANJIR

Australia ialah negara yang kerap dilanda banjir kerana kedudukan benua itu rendah dari paras laut. Untuk mengatasi masalah tersebut, pihak berkuasa ujian kemalangan Australia telah mengemukakan jalan penyelesaian dengan menggalakkan pembuat kereta untuk memastikan keselamatan penumpang jika terperangkap dalam banjir.

Justeru, Program Penilaian Kereta Baharu Australian (ANCAP) telah membangunkan strategi ujian serampang dua mata yang menyasarkan pelbagai kaedah bagi memastikan pemandu dan penumpang kekal selamat, walaupun kenderaan mereka dimasuki air selama beberapa minit.

Antaranya ialah dengan memastikan pintu kenderaan boleh dibuka meskipun tanpa kuasa elektrik. Ini kerana kebanyakan sistem elektrik kereta masih boleh digunakan untuk satu tempoh masa selepas kereta itu tenggelam.

Namun pihak berkuasa Australia mahukan ciri failsafe, kereta dengan ciri pemegang pintu elektronik yang mempunyai sandaran mekanikal sepenuhnya untuk digunakan sewaktu kecemasan.

Sudah tentu, membuka pintu kereta di bawah air tidak selalu menjadi pilihan. ANCAP mahu penumpang kereta mempunyai cara lain untuk melarikan diri iaitu melalui tingkap.

Dengan garis panduan baharu itu, penarafan keselamatan tertinggi ANCAP akan diberikan kepada kereta dengan tingkap kuasa yang boleh berfungsi selama sepuluh minit di bawah air. Ini bagi membolehkan penumpang untuk menurunkan tingkap dan keluar.

Sekiranya elektronik kereta gagal dan tingkap kuasa tidak berfungsi, agensi itu akan mengesyorkan setiap kereta baharu menyertakan kaedah untuk memecahkan tingkap menggunakan tukul keselamatan, alat pecah mekanikal atau bahan letupan.

Banjir dijangka terjadi lebih kerap apabila pemanasan global terus berlaku. Sekiranya tiada sebarang usaha mitigasi perubahan iklim, langkah keselamatan individu seperti ini sangatlah diperlukan.

Google ads
Back to top button