Motosikal

RASMI: GENERASI BAHARU HONDA X-ADV 750 TIBA DI MALAYSIA – DARI RM69,999

Boon Siew Honda (BSH) dengan rasminya memperkenalkan generasi terbaru Honda X-ADV untuk pasaran tempatan enam bulan selepas model itu membuat debut global September tahun lalu. 

Bagi pasaran tempatan, warna Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black ditawarkan pada harga RM69,999. Sementara itu, pelanggan perlu tambah RM1,000 bagi warna Matte Goldfinch Yellow. 

Honda mempertingkat reka bentuk keseluruhan X-ADV generasi terbaru ini bagi tahun 2025. Menariknya, X-ADV V3 ini seakan menggabungkan panel depan V1 dan V2. Selain itu, lampu DRL (daytime running light) juga kelihatan lebih menonjol ekoran bahagian lampu utama telah digelapkan. 

Penghadang angin juga kini boleh diselaraskan dengan satu tombol sahaja dan boleh dilakukan semasa duduk sekaligus lebih praktikal berbanding sebelum ini.

Selain itu, Honda turut mengguna pakai lebih banyak penggunaan bahan ‘polycarbonate resin’ dari Durabio di bahagian panel badan dan penghadang angin. 

Enjin dan DCT

Honda turut menaik taraf sistem DCT (dual-clutch transmission) bagi tahun 2025. Honda mendakwa sistem DCT terbaru ini lebih responsif terutamanya semasa enjin dihidupkan, sewaktu berhenti dan ketika membuat pusingan U dalam keadaan perlahan. 

Sistem DCT ini juga kekal menawarkan dua mod, Manual dan Automatik dengan mod Manual membolehkan penunggang menaik dan menurunkan gear dengan penggunaan butang tambah (+) dan tolak (-). 

Terdapat lima (5) tetapan DCT dengan Level 1 paling santai sementara Level 4 membenarkan gear naik pada RPM tinggi sahaja sementara gear turun lebih awal untuk mengaktifkan ‘engine braking’. 

Meskipun beigtu, X-ADV 2025 ini terus dikuasakan enjin parallel-twin 750cc 8-valve yang berupaya menjana 58hp pada 6,750rpm dan 69Nm pada 4,750rpm. 

Elektronik

Antara naik taraf signifikan yang diperkenalkan pada X-ADV generasi terbaru ini adalah penerapan sistem ‘cruise control’ yang didatangkan secara standard. Ciri terbaru ini secara langsung mempertingkatkan tahap keselesaan terutamanya ketika menunggang jarak jauh. 

Selain itu, Honda Selectable Torque Control (HSTC) turut dipertingkat agar pengurusan cengkaman tayar antara mod Rain dan Gravel lebih efisien. Honda X-ADV terbaru ini juga menawarkan empat mod menunggang; Standard, Sport, Rain dan Gravel. 

Skrin TFT 5-inci

Sementara itu, Honda turut memperkenalkan panel meter 5-inci baharu yang kini lebih terang dan mudah dibaca ketika dibawah matahari terik. Butang akses juga menyala ketika waktu malam sekaligus mudah diakses dalam apa jua keadaan. 

Skrin TFT baharu ini juga boleh disambung ke telefon pintar menerusi aplikasi Honda RoadSync dan membolehkan pengguna menggunakan sistem navigasi (turn-by-turn).

Ruang storan lebih besar 

Selepas menerima pelbagai kritikan, Honda telah menaik taraf ruang storan 21L yang kini boleh memuatkan sebuah helmet adventure bersaiz penuh. Juga terdapat soket USB Type-C selain lampu LED.

GALERI: HONDA X-ADV 2025

Google ads
Back to top button