Artikel Pilihan

APA YANG KITA BOLEH BELAJAR DARI GWM?

Mungkin 10 tahun lepas, jika anda bercakap mengenai kereta buatan China anda mungkin akan menggelengkan kepala dan diikuti dengan senyuman sinis atau ketawa terbahak-bahak. Rekaan yang pelik ataupun “copycat” orang lain 100% dan juga pandangan negatif pengguna menjadikan prejudis terhadap kenderaan China semakin menjadi-jadi

Apatah lagi dengan beberapa jenama yang gagal memberikan jaminan kualiti menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis. Malah jika anda mengidam jenama mahal Eropah satu ketika dulu, anda boleh menjumpai jenama yang seakan sama dengan rekaan yang hampir sama di China dengan mudah.

Salah satu petanda yang industri automotif China mula berkembang dan serius ialah apabila terdapat undang-undang yang digazetkan oleh kerajaan China terhadap isu cetak rompak rekaan atau bahasa teknikalnya “Intelectual Property Rights”.

Kalau dulu jenama asal gagal dalam isu saman di negara China, sekarang tidak lagi dengan garis panduan dan undang undang baru. Pengenalan kereta elektrik dan teknologi bateri juga berkembang pesat selepas isu pencemaran udara dan jerebu melanda beberapa kota besar di sana.

Malah tahun 2023 menyaksikan jumlah eksport kereta China mulai mengatasi jumlah eksport dari negara Jepun, yang pernah menggungguli carta jualan automotif bagi negara Asia. Salah satu kuasa baru yang menunjukkan taring dalam industri ialah Great Wall Motor atau singkatannya GWM.

Pada tahun 2023, GWM telah menjual sehingga 1.23 juta unit kenderaan, dengan peningkatan 15.3% daripada tahun 2022. Daripada jumlah ini, 316,000 unit atau peningkatan sebanyak 82.5% bagi jumlah eksport. Bagaimana GWM boleh menjadi kuasa besar automotif dalam masa yang singkat?

1. Jumlah pekerja yang ramai – GWM dan juga subsidiarinya telah menggajikan sehingga 59,000 pekerja di peringkat global. Daripada jumlah ini, hampir 3000 kakitangan adalah dalam unit kajian dan pembangunan R&D

Pada tahun 2022, data daripada AutoPat iaitu badan pemerhati pembangunan paten mendapati GWM memiliki sehingga 6,042 rekaan paten dengan peningkatan sebanyak 62.86% berbanding dengan jumlah paten pada tahun 2021

2. Bawa masuk bakat baru – bagi menghasilkan rekaan kenderaan yang lebih canggih, GWM juga membawa masuk bakat baru sebagai jururekabentuk GWM. Sebagai contoh GWM membawa masuk Andreas Deufel yang pernah bertugas sebagai Audi Creative Designer Exterior dan juga Mercedes Benz Creative Designer

Selain daripada Andreas, GWM turut membawa masuk Emanuel Derta yang merupakan bekas jururekabentuk daripada Porsche. Jadi jangan terkejut kalau anda nampak rekaan GWM ada mirip Porsce, Audi atau Mercedes.

3. Kuasai teknologi baru – sewaktu berada di reruai GWM semasa Beijing AutoShow berlangsung, penulis juga sempat menemubual Mr Tobias Lenz yang kini bertugas sebagai Chief Engineer bagi HVCET. Ia adalah subsidiari kepada GWM yang bertindak dalam kajian dan pembangunan unit trenkuasa kenderaan.

Menurut Mr. Tobiaz yang sebelum ini bertugas di Getrag, dengan menghasilkan sendiri unit gear serta trenkuasa, GWM boleh mengawal kualiti, mengawal kos pembuatan dan “supply chain”. Pendek kata, kalau boleh reka dan hasilkan sendiri unit trenkuasa memang otai yang berbisa

4. Operasi kilang yang mengikut standard – satu lagi usaha GWM ialah mereka berani membawa masuk wakil media secara beramai-ramai ke dalam kilang mereka. Fasiliti mereka merangkumi body shop, paint shop, dan assembly line. Banyak operasi kilang telah menggunakan mesin dan juga robot menerusi proses automasi

Pemerhatian penulis juga terhadap cara kerja, SOP dan juga keadaan kilang mendapati wujud unsur-unsur Toyota Production System di kilang GWM. Elemen 5S, pokayoke, meiruka board (papan maklumat proses) dan sistem andon wujud di fasiliti kilang GWM

5. Fasiliti ujian – penulis juga dibawa untuk menguji kenderaan GWM di dua fasiliti yang berbeza. Pertama ialah fasiliti khas untuk menguji kenderaan pikap 4×4 dan juga SUV buatan GWM. Fasiliti ini merangkumi trek laluan sukar berbonggol-bonggol, mendaki pada sudut 40 darjah serta menuruni bukit

Malah wakil media diberi peluang untuk menguji semua SUV dan pikap GWM di laluan berpasir bagi membuktikan keupyaan sebenar kenderaan GWM di laluan sukar, termasuk mendaki bukit yang setinggi 600 meter dari aras laut.

Bagi fasiliti kedua, GWM memberikan peluang kepada wakil media untuk merasai sendiri pengalaman melalui selekoh kelajuan tinggi pada kelajuan 180-200km/jam, laluan mendaki bertar pada sudut 45 darjah, ujian membelok dan brek kecemasan serta laluan slalom.

Fasiliti ujian ini dibina di sekeliling kilang GWM yang bertindak untuk memasang semua kenderaan GWM di bawah jenama HAVAL. Ini membuktikan GWM sememangnya telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menghasilkan kenderaan berkualiti dunia.

6. Penerokaan tenaga baru – selain daripada membangunkan teknologi elektrik melalui subsidiari SVOLT, GWM juga turut membangunkan teknologi hidrogen dan sel bahan api melalui satu lagi subsidiari FTXT. Pendekatan serampang 2 mata ini membenarkan GWM mengakses teknologi samaada hidrogen dan juga teknologi elektrik untuk dipasarkan pada masa akan datang

Google ads
Back to top button