BAIC X55 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – JANA 188PS, 305NM
SUV segmen C, BAIC X55 hari ini secara rasmi diperkenalkan untuk pasaran tempatan dan bakal bersaing dengan Proton X50 serta Chery Omoda 5.
Tiba dalam dua varian, Standard dan Premium, ia tampil dengan bahasa reka bentuk “Diamond Stars”, mengambil inspirasi filem sci-fi Hollywood “Interstellar”. Reka bentuk lampu hadapan dan belakang X55 II turut menggemakan tema “Diamond Stars”.
BAIC X55 memiliki dimensi panjang 4,620mm, lebar 1,886mm, tinggi 1,680mm dan jarak roda 2,735mm.
Sebagai perbandingan Chery Omoda 5, ia mempunyai ukuran 4,400mm (panjang), 1,830mm (lebar), 1,585mm (tinggi) dan jarak roda 2,630mm.
Reka bentuk dalaman X55 II bukan sahaja memberikan pengguna pengalaman kapsul ruang yang mengasyikkan, tetapi juga membentuk gaya bersatu dengan gaya luaran.
Dibina dengan 62.3 peratus keluli kekuatan tinggi dan 8.7 peratus ‘hot-formed steel’, X55 memberikan perlindungan yang unggul.
Dengan ciri-ciri seperti kekukuhan kilasan 21872 Nm, zon remukan lanjutan, dan pintu bentukan bersepadu standard Euro yang diperkukuh dengan rasuk keluli dwi-dalaman, X55 telah memperoleh penarafan keselamatan berganda 5 bintang daripada C-NCAP dan C-IASI.
Bukan itu sahaja, persekitaran kabin direka bentuk dengan tahap ‘benzene’ dan ‘formaldehyde’ yang lebih rendah, trim kadar antibakteria 99.9 peratus, dan fungsi ADAS dengan pelbagai radar, memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk semua penumpang.
Ia turut dilengkapi skrin infotainment 10-inci, kluster instrument 10-inci, pengecasan tanpa wayar, ketersambungan Bluetooth, sistem audio enam-pembesar suara (varian standard) manakala varian Premium menerima sistem audio lapan-pembesar suara.
Perincian lain termasuklah mempunyai panoramic sunroof, cermin sisi berkuasa dengan fungsi pemanasan, rim aloi 19-inci serta 6 beg udara bagi kedua-dua varian.
Dari segi kuasa, ia dijana enjin petrol 1.5TD, 4-silinder dengan teknologi VGT, menghasilkan 188PS dan tork 305Nm.
Nadi berkenaan dipadankan bersama kotak gear DCT 7-kelajuan yang dibangunkan sendiri.
Trenkuasa X55 telah diiktiraf dengan Anugerah 10 Trenkuasa Terbaik di China, dengan penggunaan bahan api WLTC hanya 7.18 L/100 km, menawarkan kedua-dua dengan kuasa dan kecekapan bahan api.
GALERI:
- BACA: PUSAT PROTON EON 3S DIBUKA DI BANTING, LABUR RM6 JUTA UNTUK KERJA UBAH SUAI
- BACA: POLIS BURU INDIVIDU DALAM VIDEO ‘HEALING’ DI STESEN MINYAK
- BACA: SUZUKI GSX-R125 2024, 15PS, ABS, GBP4.69 RIBU (RM27.9 RIBU) DI UK
- BACA:KIA EV6 FACELIFT 2025 TAMPIL LEBIH AGRESIF, BATERI 84KWJ, TAWAR JARAK GERAK 494KM