Buletin

KIA EV6 FACELIFT 2025 TAMPIL LEBIH AGRESIF, BATERI 84KWJ, TAWAR JARAK GERAK 494KM

Kia baru-baru ini telah mendedahkan Kia EV6 facelift 2025, didatangkan dengan beberapa kemas kini, bukan sahaja dari bahagian luar malah turut mendapat pek bateri baharu.

Kemas kini crossover elektrik ini adalah termasuk fasia hadapan, dengan penampilan lampu depan LED yang lebih tipis, diinspirasikan oleh SUV elektrik EV9.

Selain itu, gril dan bampar juga telah menerima penyegaran dengan penampilan yang lebih agresif dan sporty.

Kia EV6 facelift turut mendapat rim baharu – dwi tona hitam dan perak dengan reka bentuk yang lebih futuristik.

Sementara itu, bahagian belakang masih mengekalkan reka bentuk lampu LED memanjang dengan spoiler di bahagian bumbung.

Di bahagian dalam, perubahan paling ketara ialah skrin panoramik melengkung yang terdiri daripada instrumen digital dan skrin infotainment masing-masing berukuran 12.3-inci.

Menurut laporan, skrin infotainmen juga disepadukan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bukan itu sahaja, reka bentuk stereng turut diubah iaitu menjadi dua jejari, dilengkapi pembaca cap jari, membolehkan pemandu menghidupkan kereta elektrik tanpa memerlukan kunci.

Menariknya, Kia EV6 tidak lagi menggunakan bateri berkapasiti 77.4 kWj, tetapi telah dikemas kini dengan kapasiti lebih besar iaitu 84 kWj.

Varian RWD didakwa mempunyai jarak gerak 494 km, 19 km lebih jauh berbanding EV6 semasa.

Bateri baharu menyokong pengecasan pantas DC 350kW dan boleh mengecas semula dari sifar hingga 80 peratus dalam masa 18 minit sahaja.

EV6 facelift dilaporkan akan mula dijual di Korea pada bulan Jun, tetapi tiada maklumat lanjut mengenai harga bagi model facelift tersebut.

Google ads
Back to top button